Institut Jantung Negara
Institut Jantung Negara
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Institut Jantung Negara (IJN) berjaya melaksanakan prosedur angioplasti dengan teknologi sokongan sementara kepada pesakit jantung berisiko tinggi, sebagai sebahagian daripada misi meningkatkan kesihatan kepada lebih ramai orang memerlukan.

IJN menjalankan prosedur pertama itu dengan PulseCath iVAC2L pada September lalu, menjadikan ia hospital pertama di Malaysia yang berjaya melakukannya.

Prosedur berkenaan dilakukan oleh pasukan pakar kardiologi diketuai Pengarah Klinikal bagi Kegagalan Jantung dan Pemindahan Jantung, Datuk Dr Azmee Mohd Ghazi.

Prosedur baharu itu membabitkan penggunaan alat peredaran mekanikal sementara bagi menyokong aliran darah untuk pesakit kegagalan jantung yang menjalani Primary Percutaneous Coronary Intervention (PCI).

Direka untuk digunakan dalam prosedur jantung berisiko tinggi dan kompleks, peranti itu membantu aliran darah melalui pam untuk mengekalkan tekanan arteri yang optimum dalam jantung serta seluruh badan.

Menurut Dr Azmee, pesakit yang menjalani prosedur berkenaan sudah dibenarkan keluar hospital beberapa hari selepas prosedur tanpa sebarang komplikasi.

"Kami teruja dengan prospek menggunakan peranti sokongan ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang yang tidak dapat menjalani rawatan PCI konvensional kerana berisiko tinggi.

"Terdapat beberapa jenis peranti sokongan mekanikal sementara yang akan diperkenalkan IJN tidak lama lagi," katanya dalam kenyataan.

PCI adalah prosedur bukan pembedahan yang digunakan bagi merawat penyakit jantung koronari, salah satu penyakit jantung yang biasa.

Penyakit jantung koronari berlaku apabila saluran darah koronari menjadi sempit disebabkan pengumpulan lemak atau plak yang seterusnya mengurangkan jumlah darah dibekalkan ke otot jantung.

Dalam kes yang teruk, keadaan ini boleh menyebabkan serangan jantung dan kegagalan jantung.

Ketua Jabatan Kardiologi Datuk Dr Shaiful Azmi berkata, bagi PCI doktor menggunakan 'small catheter' untuk meletakkan belon dan stent bagi membantu membuka saluran darah koronari yang sempit atau tersumbat.

Menurutnya, ini akan membolehkan lebih banyak darah beroksigen dibekalkan dan terus berfungsi secara normal sebagai pam.

"Bagaimanapun, sesetengah pesakit dianggap berisiko tinggi untuk PCI terutama pesakit dengan penyakit jantung koronari pelbagai saluran dan mereka yang mempunyai komorbiditi.

"Ada pesakit mengalami kegagalan jantung teruk yang mana otot jantung mereka terlalu lemah untuk menahan PCI konvensional kerana jantung tidak dapat mengepam darah dengan cukup cekap," katanya.

Dalam kes ini, beliau berkata, peranti peredaran mekanikal boleh membantu mengelak komplikasi dengan menyediakan sokongan hemodinamik sementara kepada jantung.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif IJN Datuk Dr Aizai Azan Abdul Rahim berkata, kejayaan itu sebahagian daripada usaha IJN mendapatkan terapi terkini yang terbukti berkesan.

"Bidang perubatan adalah salah satu penambahbaikan berterusan. Setiap penambahbaikan memberi peluang kepada pesakit mempunyai kualiti hidup lebih baik," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 9:28 PM