GAJAH jantan yang dipindahkan. FOTO Ihsan PKGK
GAJAH jantan yang dipindahkan. FOTO Ihsan PKGK
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah sudah melakukan dua operasi memindahkan tiga gajah jantan yang mengancam keselamatan masyarakat Orang Asli di Pos Betau, Lipis, dalam tempoh dua bulan.

Operasi pertama bulan lalu membabitkan gajah jantan dianggarkan berusia 44 tahun seberat kira-kira tiga tan yang ditangkap di Kampung Simoi Lama.

Minggu lalu operasi kedua dilakukan bagi memindahkan dua gajah jantan yang sebelum itu memusnahkan tanaman pisang dan kelapa penduduk Pos Betau.

Ketua PKGK Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman, berkata operasi itu dilakukan anggota Unit Tangkapan Gajah (UTG) Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang.

Menurutnya, pasukan berkenaan kini masih memantau pergerakan kumpulan gajah yang dipercayai masih berada di Pos Betau.

"Difahamkan, terdapat antara 10 hingga 12 gajah bergerak dalam dua kumpulan di kawasan Pos Betau, dan haiwan berkenaan seolah tidak berminat untuk masuk ke Hutan Simpan Ulu Jelai yang juga habitat semula jadi mereka.

"Kumpulan gajah berkenaan menceroboh kebun dan memusnahkan tanaman masyarakat Orang Asli, haiwan terbabit juga mengancam keselamatan penduduk terutama apabila memasuki kawasan kampung," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata, difahamkan gajah jantan yang menyerang hingga mati remaja lelaki Orang Asli di Kampung Tual B, Pos Senderut awal tahun ini masih lagi bebas dan bergerak bersama dua kumpulan terbabit.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, akhir tahun lalu seorang wanita di Kampung Simoi Baru, Pos Betau turut terbunuh selepas diserang gajah yang dipercayai kumpulan sama.

"Saya menasihatkan masyarakat Orang Asli di Pos Betau dan kampung berhampiran supaya segera menghubungi Perhilitan sekiranya melihat kehadiran gajah di kampung mereka, jangan cuba hampiri haiwan terbabit dengan tujuan menghalaunya.

"Haiwan terbabit boleh bertindak sekiranya merasakan dirinya terancam. Tindakan yang boleh dilakukan ialah dengan membuat unggun api sekiranya mengetahui terdapat gajah berhampiran kampung," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2023 @ 3:56 PM