PUSAT Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh memindahkan gajah di Rompin pada 2021. FOTO Mohd Rafi Mamat
PUSAT Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah Lanchang, Temerloh memindahkan gajah di Rompin pada 2021. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Gajah jantan yang menyerang dan memijak remaja Orang Asli Kampung Tual B, Pos Senderut, Lipis hingga mati Isnin lalu dipercayai dari kumpulan sama yang menyebabkan kematian seorang wanita di Kampung Simoi Baru, Pos Betau Disember lalu.

Ketua Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Che Ku Mohd Zamzuri Chik Wan Ab Rahman berkata, pihaknya percayai kedua-dua kes serangan itu membabitkan gajah dari kumpulan yang sama.

"Kita percaya gajah jantan yang menyerang remaja Orang Asli di Kampung Tual B, Pos Senderut, Isnin lalu, kumpulan sama yang memijak wanita Orang Asli Kampung Simoi Baru, Pos Betau pada 7 Disember tahun lalu.

"Haiwan berkenaan kemudiannya terpisah daripada kumpulan dan menceroboh beberapa kampung serta memusnahkan kebun pisang penduduk," katanya.

Beliau berharap masyarakat Orang Asli di Pos Senderut dan Pos Betau serta beberapa kampung lain berhati-hati dengan ancaman gajah jantan berkenaan bagi kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, PKGK kini sedang melakukan operasi menangkap gajah jantan yang terbabit dalam serangan hingga menyebabkan kematian di Kampung Tual B itu.

Dalam kejadian itu Andy Yok Manin, 15 berkenaan bersama abang dan rakannya ke hutan untuk mencari petai sebelum diserang gajah terbabit.

Dalam pada itu, Che Ku Mohd Zamzuri berkata PKGK Kuala Gandah menangkap dan memindahkan 33 gajah liar di enam negeri sepanjang tahun lalu.

Kelantan mencatat jumlah tangkapan terbanyak iaitu 17 diikuti Johor dan Pahang masing lima diikuti tiga di Perak, dua di Kedah serta seekor Terengganu.

Katanya, pada 2021 pihaknya menangkap dan memindahkan 73 gajah dengan Kelantan mencatat jumlah tertinggi sebanyak 25 ekor diikuti Pahang (18), Johor (10), Kedah (8), masing-masing enam ekor di Perak dan Terengganu.

Beliau berkata, pihaknya menerima aduan ancaman gajah liar hampir setiap bulan, namun tidak semua aduan berakhir dengan operasi mengesan, seterusnya menangkap haiwan berkenaan.

"Ancaman gajah banyak berlaku di Kelantan, Johor, Pahang, Perak, Terengganu dan Kedah. Pembukaan hutan berskala besar menjadi faktor utama haiwan itu menceroboh ke kawasan ladang, kebun dan penempatan berhampiran hutan.

"Pelbagai usaha terpaksa dilakukan untuk menghalang gajah daripada terus menceroboh. Kaedah kawalan secara berterusan, pagar elektrik dan membina parit besar terpaksa digunakan," katanya, dihubungi di sini hari ini.

Che Ku Mohd Zamzuri berkata, terdapat kes pihaknya hanya bertindak menghalau kumpulan haiwan itu masuk ke hutan berhampiran, seterusnya membuat pemantauan selama beberapa hari di kawasan terbabit.

Beliau berkata, operasi menangkap dan memindahkan gajah liar dilakukan terutama apabila haiwan terbabit mengancam manusia dan memusnahkan tanaman seperti pokok buah-buahan, kelapa sawit dan nangka.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 January 2023 @ 12:14 PM