KESAN tanah runtuh (bulatan) yang berlaku di kawasan berhampiran Pangsapuri Seri Laman.
KESAN tanah runtuh (bulatan) yang berlaku di kawasan berhampiran Pangsapuri Seri Laman.
Nurul Hidayah Bahaudin

Gombak: Pasukan bomba dan penyelamat melakukan pemantauan susulan di kawasan berhampiran Pangsapuri Seri Laman, Taman Industri Bolton, Selayang di sini yang berlaku tanah runtuh, 19 Disember lalu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, pihaknya sebelum itu menerima panggilan penduduk pada 6.03 petang hari ini yang bimbang sekiranya berlaku runtuhan semula disebabkan faktor cuaca.

"Seramai lapan anggota bersama dua jentera daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang ke lokasi untuk pemantauan.

"Sebelum ini, terdapat tanah runtuh berhampiran kawasan perumahan itu selepas hujan tanpa henti pada 17, 18 dan 19 Disember," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, setakat ini tiada mangsa mahupun kerosakan yang dilaporkan.

Menurutnya kes itu diserahkan kepada pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) yang turut hadir di kawasan terbabit.

"Tiada mangsa dan kerosakan harta benda dilaporkan dalam kes ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 Disember 2021 @ 8:15 PM