Laluan di Jalan Gombak lama terhalang berikutan kejadian tanah runtuh pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Laluan di Jalan Gombak lama terhalang berikutan kejadian tanah runtuh pagi hari ini. Foto Ihsan JBPM
Nurul Hidayah Bahaudin

LALUAN di Jalan Gombak Lama menghala ke Genting Highlands di Gombak ditutup kerana berlaku tanah runtuh hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.19 pagi.

"Seramai tujuh anggota bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami mendapati terdapat tanah runtuh di cerun bukit di laluan terbabit pada ketinggian lebih lima meter," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kejadian itu tidak membabitkan sebarang struktur dan pihaknya mendapatkan bantuan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, kerja pembersihan tanah sedang dijalankan dan kedua-dua jalan berkenaan masih ditutup.

Laluan berkenaan terpaksa dilencongkan kerana ia tidak dapat dilalui oleh semua kenderaan.

Ia dijangka akan mengambil masa beberapa jam untuk membersihkan tanah berkenaan sebelum laluan itu dibuka semula kepada pengguna jalan raya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Julai 2020 @ 12:48 PM