Kereta dinaiki mangsa yang remuk akibat bertembung lori tangki. FOTO ihsan bomba
Kereta dinaiki mangsa yang remuk akibat bertembung lori tangki. FOTO ihsan bomba
Muhamad Izzat Nasuruden


Teluk Intan: Wanita maut, empat lagi cedera termasuk bayi perempuan berusia 8 bulan selepas kereta mereka naiki terbabit kemalangan dengan lori tangki sawit yang turut terjunam dalam parit di Jalan Teluk Intan- Chenderong Balai, di sini pagi tadi.

Dalam kejadian 11.45 pagi itu, mangsa yang maut dikenal pasti sebagai P Rajassawary, 60, yang meninggal dunia ketika menerima rawatan di klinik kesihatan Chenderong Balai.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah lori tangki dengan kereta jenis Honda Accord.

Menurutnya, kereta terbabit dinaiki seorang lelaki berusia 38 tahun yang juga pemandu serta tiga wanita dan seorang bayi perempuan berusia 8 bulan hingga 60 tahun.

"Lori berkenaan dipandu lelaki berusia 45 tahun dari Chenderong ke Lumut, bertembung dengan kereta dinaiki lima mangsa itu yang datang dari arah Teluk Intan menuju Tapah.

"Kereta terbabit dipercayai memasuki laluan bertentangan mengakibatkan kedua-duanya bertembung sebelum kereta terbabas ke kiri bahu jalan manakala lori terjunam ke parit berhampiran," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, pemandu kereta cedera di bahagian tangan kanan, manakala penumpang lain selain warga emas berkenaan hanya cedera ringan.

"Pemandu lori pula tidak mengalami kecederaan dan siasatan diteruskan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 Jun 2016 @ 8:31 PM