Izz Laily Hussein

Johor Bahru: Satu pasukan khas ditubuhkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menjalankan kajian dan meneliti semua permasalahan berhubung penggunaan sistem pembayaran baharu kad Visa prepaid yang dikeluarkan Kumpulan Touch 'n Go (TNG).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, pasukan khas yang ditubuhkan serta-merta hari ini bersama syarikat pengendali TNG itu akan menyelesaikan masalah yang timbul.

"Saya harap pasukan khas ini akan membuat siasatan secara menyeluruh supaya tidak akan berulang lagi pada masa akan datang.

"Saya juga minta laporan diberikan kepada pihak kementerian bagi setiap kes, sebagai contoh semalam, kita dapat secara terperinci tentang satu masalah itu dan syarikat memberikan jawapan dengan segera, sekali gus isu timbul dapat dipantau," katanya pada sidang media di Kampung Pasir di sini, hari ini.

Menurut beliau, tindakan akan diambil ke atas syarikat pengendali jika tidak menunaikan tanggungjawab menyelesaikan isu berbangkit berhubung produk berkenaan.

"Saya akan teliti dan pastikan mereka (TNG) menunaikan tanggungjawab, (tetapi) sekiranya mereka tidak mengambil perhatian, maka saya akan membincangkan tindakan yang akan diambil," katanya.

Katanya, antara masalah diutarakan pengguna berhubung penggunaan sistem pembayaran baharu kad Visa prepaid itu ialah kad prabayar tidak berfungsi di semua tol dan tidak boleh diaktifkan, selain talian hotline yang tidak dijawab.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 3:45 PM
SALAHUDDIN ketika sidang media di Kampung Pasir, Johor Bahru.  FOTO Nur Aisyah Mazalan
SALAHUDDIN ketika sidang media di Kampung Pasir, Johor Bahru. FOTO Nur Aisyah Mazalan