AZMAN ISMAIL
AZMAN ISMAIL
Nabil Basaruddin


PENGGUNA Lebuh Raya Utara-Selatan seliaan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dinasihatkan agar tidak keluar dari kenderaan sekiranya baki kad Touch ‘n Go (TnG) tidak mencukupi apabila tiba di lorong plaza tol.

Cara paling selamat adalah dengan menekan butang interkom bagi menghubungi pembantu khidmat pelanggan untuk bantuan.

Namun, pengguna disarankan merancang perjalanan dan memastikan mempunyai baki kad mencukupi bagi mengelakkan sebarang masalah.

Pengarah Urusan PLUS, Datuk Azman Ismail berkata, sehingga kini terdapat lebih 11,000 pusat tambah nilai di seluruh negara.

Ia termasuk di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) dan Hentian Sebelah, mesin pengeluaran wang automatik (ATM), stesen minyak, pasar raya serta 7 Eleven.

Beliau berkata, selain itu, terdapat juga 22 kaunter TnG Spot, 68 mesin tambah nilai, 27 pusat khidmat pelanggan dan 65 lorong tambah nilai di lorong masuk plaza tol terpilih.

"Kepelbagaian pusat tambah nilai berkenaan adalah inisiatif yang diambil syarikat bagi memastikan pengguna di sepanjang lebuh raya PLUS dapat menikmati perjalanan yang lebih selesa dan tanpa kebimbangan.

"Kami berharap pengguna dapat memahami tujuan sebenar lorong tambah nilai dihapuskan iaitu untuk menjamin perjalanan lebih lancar ketika melalui plaza tol keluar di lebuh raya PLUS dan Lebuh Raya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE).

"Perkara ini juga seterusnya akan membantu mengurangkan kesesakan sekali gus meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya serta pembantu khidmat pelanggan di lorong plaza tol," katanya di Kuala Lumpur, hari ini.

Azman berkata, dengan penutupan lorong tambah nilai di plaza tol, pihaknya berharap pengguna dapat sentiasa pastikan baki kad TnG sentiasa mencukupi sebelum memulakan perjalanan.

Menurutnya, ia juga dapat mendidik pengguna untuk merancang perjalanan mereka terlebih dahulu dengan menyemak baki kad melalui SmartTAG, merujuk kepada panel LED di lorong masuk, kiosk tambah nilai atau aplikasi TnG.

"Jadi, kami berharap pengguna dapat mengambil perhatian mengenai perkara ini dan tambah nilai sebelum memasuki lebuh raya supaya ia tidak akan menjejaskan perjalanan.

"Bagaimanapun, sekiranya berlaku situasi yang tidak dapat dielakkan dan baki kad tidak mencukupi, jangan sesekali keluar dari kenderaan sebaliknya dapatkan bantuan daripada kakitangan khidmat pelanggan kami,” katanya.

Katanya, PLUS memiliki prosedur operasi standard (SOP) tertentu untuk tidak membenarkan kesesakan yang panjang berlaku lagi pada masa akan datang.

Pada masa sama, beliau berkata, peratusan pengguna lebuh raya yang mengalami baki rendah turut menunjukkan trend penurunan di wilayah tengah, utara dan selatan.

Wilayah tengah menunjukkan penurunan kepada 1.3 peratus berbanding lima peratus dari jumlah 850,000 pengguna lebuh raya PLUS manakala, wilayah utara pula turun kepada lima peratus dari sembilan peratus untuk 238,000 pengguna.

Bagi wilayah selatan, hanya empat peratus dari 199,000 pengguna berdepan masalah baki tidak mencukupi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 November 2019 @ 7:14 PM