Kemalangan mengorbankan pasangan bakal pengantin di KM  88.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun, 2 pagi tadi. FOTO Rosli Ilham
Kemalangan mengorbankan pasangan bakal pengantin di KM 88.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun, 2 pagi tadi. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham

Dungun: Pasangan bakal pengantin maut apabila Proton Wira dinaiki hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan sebelum dirempuh kereta jenis sama di Kilometer 88.9, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, Dungun, awal pagi tadi.

Kemalangan kira-kira jam 2 pagi itu mengorbankan Che Sukiman Che Rahim, 41, dari Felda Kerteh 6 dan tunangnya Nur Ashikin Mohamed, 23, dari Kampung Balai Besar di sini.

Kemalangan berlaku apabila Proton Wira dipandu Nur Ashikin dari arah Dungun menghala ke Paka dipercayai hilang kawalan lalu memasuki laluan kanan jalan sebelum sebuah lagi Proton Wira dari arah bertentangan yang dipandu Wan Mohd Shahzrul Azri Wan Omar, 26, merempuh bahagian kiri kenderaan pasangan berkenaan.

Rempuhan itu menyebabkan kereta mangsa putus dua manakala Che Sukiman pula tercampak keluar.

Difahamkan, Wan Mohd Shahzrul yang berasal dari Kampung Merchang, Marang, parah akibat kemalangan itu dan kini dilaporkan kritikal.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun Amri Mohamad berkata, sepasukan lapan anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung kejadian.

"Mayat Nur Ashikin yang tersepit di tempat duduk pemandu berjaya dikeluarkan 15 minit kemudian. Mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut manakala mangsa yang parah dibawa ke Hospiral Dungun," katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2016 @ 8:41 AM