MOHD Yusrizal dibawa pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
MOHD Yusrizal dibawa pegawai SPRM di Mahkamah Sesyen Kuantan. FOTO Khairulmizan Yahya
Khairulmizan Yahya

Kuantan: Kakitangan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan menerima suapan berjumlah RM2,000, tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Yusrizal Md Ledza, 40, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Yusrizal yang juga Penolong Jurutera didakwa menerima suapan RM1,000 daripada wanita berusia 33 tahun yang dipindahkan secara dalam talian ke dalam akaun miliknya, sedangkan tertuduh mengetahui wanita itu mempunyai hubungan dengan tugasan rasminya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank cawangan Temerloh pada 7 Mac 2022.

Dia juga dituduh menerima suapan RM1,000 daripada wanita sama di tempat serupa pada 23 Mac 2022.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya, jika disabitkan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaan Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Raf'ah Izzati Abdul Mutalif yang menawarkan jaminan RM 10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan tersebut.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan atas alasan perlu menyara keluarga dan mempunyai komitmen tinggi.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM9,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan, tertuduh perlu melapor diri di pejabat SPRM Cawangan Temerloh sebulan sekali bermula Februari, hingga kes selesai serta pasport antarabangsa diserahkan kepada pihak berkuasa.

Kes itu disebut semula pada 13 Februari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 11:27 AM