S Sasikala Devi, menyampaikan sumbangan kepada pemandu kenderaan ketika majlis pelancaran Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur.  FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
S Sasikala Devi, menyampaikan sumbangan kepada pemandu kenderaan ketika majlis pelancaran Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina 2023 di Plaza Tol Gombak menghala ke Pantai Timur. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Gombak: Sebanyak 171,000 kenderaan dijangka menggunakan lebuh raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sepanjang cuti perayaan Tahun Baharu Cina yang bermula Jumaat ini.

Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk S Sasikala Devi berkata, jumlah itu berlaku peningkatan sebanyak 71 peratus berbanding purata penggunaan harian pada hari biasa iaitu 100,000 kenderaan.

"Justeru itu, pengguna dinasihatkan untuk mengikut jadual waktu perjalanan yang ditetapkan mengikut konsesi masing-masing bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

"Selain itu, polis menerusi Op Selamat-19 akan mempertingkatkan penguatkusaan dalam usaha memastikan kelancaran trafik serta keselamatan pengguna pada tahap tertinggi sepanjang tempoh berkenaan, "katanya pada sidang media selepas melancarkan Op Selamat-19 Tahun Baru Cina Kontinjen Selangor di Plaza Tol Gombak, di sini, hari ini,

Beliau berkata, pihaknya juga mengenal pasti enam kawasan 'hotspot' di sekitar Selangor yang sering berlaku kemalangan dan kesesakan jalan raya.

"Kawasan yang dikenal pasti ialah Sabak Bernam, Klang Selatan, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Ampang.

"Fokus penguatkuasaan akan diberikan kepada enam kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di garisan berkembar dan memotong barisan, tidak mematuhi lampu isyarat serta menggunakan alat komunikasi semasa memandu.

"PDRM akan menumpukan perhatian khusus kepada kesalahan itu selain pengguna jalan raya yang didapati ingkar dan berterusan melakukan kesalahan akan diambil tindakan," katanya.

Menurutnya, bagi Op Selamat Tahun Baru Cina pada tahun lalu merekodkan 2810 kemalangan di seluruh Selangor.

"Daripada jumlah itu, 21 daripadanya adalah kemalangan maut membabitkan 21 kematian. Jadi kita menyeru pengguna jalan raya supaya memandu dengan berhemah dan mengikut peraturan yang ditetapkan, "katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 January 2023 @ 6:06 PM