GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Sebanyak 52 kemalangan maut membabitkan 58 kematian direkodkan sepanjang Op Selamat-19 sempena Tahun Baru Cina 2023 sejak 18 Januari lalu hingga semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Deputi Komisioner Mohd Nasri Omar berkata, seramai 33 individu dilaporkan cedera parah, manakala 250 lagi individu cedera ringan.

Katanya, sebanyak 7,180 kemalangan direkodkan membabitkan 9,198 kenderaan sepanjang tempoh berkenaan.

"Penunggang dan pembonceng motosikal merekodkan jumlah kematian tertinggi iaitu 31 individu, manakala pemandu serta penumpang kereta merekodkan 20 kematian.

"Sementara itu, pemandu dan penumpang lori merekodkan tiga kematian, manakala dua kematian membabitkan pejalan kaki dan satu kematian berkaitan penunggang basikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Nasri berkata, sebanyak 9,653 saman atas pelbagai kesalahan dikeluarkan sepanjang tempoh berkenaan di seluruh negara.

"Ia termasuk enam kesalahan utama iaitu melebihi had laju, memandu di lorong kecemasan, memotong di barisan berkembar, memotong barisan, melanggar lampu isyarat serta menggunakan alat komunikasi.

"Kami menasihatkan semua pengguna jalan raya sentiasa peka semasa pemanduan bagi mengelak risiko terbabit dalam kemalangan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 7:53 PM