GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Subang Jaya: Polis melaksanakan Op Lancar di lima daerah di Selangor yang merekodkan kesesakan ketika musim perayaaan sempena Op Selamat 21 bermula Khamis sehingga 13 Feb ini.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, daerah yang terbabit adalah Gombak, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Serdang dan Klang Utara melibatkan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak di Plaza Tol Gombak, Jalan Kuala-Ipoh di Kilometer 30, Jalan Klang-Teluk Intan, Pekan Kuala Selangor ke Tanjung Karang dan Jalan Kuala Selangor- Rawang (lampu isyarat susur Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor).

Menurutnya, selain itu Jalan Kuala Lumpur-Ipoh (lampu isyarat di Batang Kali) dan Klang -Teluk Intan di Pekan Kapar serta di Plaza Tol Sungai Besi di Serdang.

"Pada operasi ini sebanyak 11 operasi perangkap had laju dan lima lokasi Op Lancar akan dilaksanakan dengan kekuatan 61 pegawai kanan dan 432 anggota sepanjang operasi selama enam hari bagi memastikan lalu lintas berjalan lancar.

"Adalah menjadi tanggungjawab pengguna jalan raya untuk memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik, bertolak ansur, tidak menggunakan telefon bimbit dan mematuhi undang-undang lalu lintas," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Plaza Tol Puchong Selatan, Lebuhraya Damansara Puchong (LDP).

Terdahulu beliau merasmikan Kempen dan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Sempena Tahun Baru Cina 2024.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Kebajikan Sosial (Perkeso), Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR), Sazally Saidi.

Hussein berkata, semua elemen dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk unit dron dan aset helikopter selain 42 kereta dan 89 motosikal akan digunakan sepanjang operasi terbabit bagi memantau lokasi kesesakan lalu lintas.

Katanya, orang ramai boleh menyalurkan maklumat sekiranya berlaku kemalangan dan kecemasan kepada bilik gerakan Trafik Bukit Aman di talian 03-22663356, hotline bilik gerakan Jabatan Siasatan dan PenguatkuasaanTrafik Selangor 03-55100559 atau hotline CCC Selangor 03-55145206.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Februari 2024 @ 6:54 PM