Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Lebih 100 nelayan di Kuala Kangkong, di sini, yang terjejas akibat Covid-19 menerima sumbangan barangan keperluan asas daripada pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), hari ini.

Sumbangan seperti ayam mentah, beras dan keperluan harian termasuk kuih tradisional itu disampaikan oleh Cancer Survivor Malaysia (CSM) dan Sukarelawan Uthman Affan Prihatin Kedah.

Pengagihan sumbangan diberikan kepada semua nelayan termasuk di pesisir laut menggunakan sampan.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, selain nelayan, 20 pesakit kanser di kawasan itu turut menerima bantuan makanan, susu khas serta wang tunai hasil dana melalui CSM.

Beliau berkata, pihaknya bersimpati dengan nasib mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

"Bantuan ini juga adalah bagi persediaan menyambut Aidiladha tidak lama lagi dan sekurang-kurangnya dapat meringankan beban mereka yang terjejas pendapatan ketika ini," katanya ketika ditemui dalam program Agihan Foodbox Komuniti Nelayan Kuala Kangkong di sini hari ini.

ZURAINI (dua kiri) dan MOHD Shukor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada nelayan di Kuala Kangkong. FOTO Zuliaty Zulkiffli
ZURAINI (dua kiri) dan MOHD Shukor (kiri) menyampaikan sumbangan kepada nelayan di Kuala Kangkong. FOTO Zuliaty Zulkiffli

Sementara itu, Pengerusi Sukarelawan Uthman Affan Prihatin Kedah, Mohd Shukor Salleh berkata, pihaknya turut menyerahkan kotak sumbangan kuih tradisional untuk 100 nelayan.

Beliau berkata, pihaknya membeli kuih tradisional itu daripada beberapa pengusaha kuih yang turut terjejas pendapatan di kawasan kampung.

"Melalui cara ini kita dapat membantu pengusaha kuih tradisional dan kemudian menyalurkan bantuan itu kepada golongan nelayan melalui program ini.

"Ia secara tidak langsung dapat membantu semua pihak ketika pandemik Covid-19 ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Julai 2021 @ 11:01 AM