Tertuduh (tiga dari kanan) diiringi pihak polis selepas selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Tertuduh (tiga dari kanan) diiringi pihak polis selepas selesai menjalani perbicaraan di Mahkamah Majistret, Kota Kinabalu. FOTO JUWAN RIDUAN
Juwan Riduan


Kota Kinabalu: Bekas model sambilan didenda RM20 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mabuk dan membuat kacau di restoran, 5 Januari lalu.

Hukuman diputuskan Majistret Stephanie Sherron Abbie selepas tertuduh, Persana Avril Sollunda, 40, mengaku bersalah terhadap pertuduhan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sehari sekiranya gagal membayar denda itu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di restoran di Damai Plaza Luyang di sini pada 11 malam, 5 Januari lalu dengan pendakwaan mengikut Seksyen 510 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 hari atau denda tidak melebihi RM20 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan.

Berdasarkan fakta kes, Persana Avril dikatakan mabuk, gagal mengawal diri, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu pelanggan lain ketika berada di restoran itu.

Polis ke lokasi dan menahannya yang ketika itu sudah dipegang pekerja restoran bagi mengelak daripada terus membuat kacau.

Wanita itu pernah tular di media sosial pada 2015 kerana berkelakuan lucah di Petaling Street Kuala Lumpur.

Semakan mendapati dia juga mempunyai rekod lampau berkaitan Akta Dadah Berbahaya 1952 selain, pernah tersenarai sebagai orang dikehendaki di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 2016 atas kesalahan dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 January 2023 @ 1:56 PM