MODEL sambilan, Persana Avril  diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selepas lapan hari dipenjara atas tuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam.
MODEL sambilan, Persana Avril diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin selepas lapan hari dipenjara atas tuduhan melakukan perbuatan lucah di tempat awam.
Oleh Sarah Zulkifli

Kuala Lumpur: Mahkamah Majistret, di sini, semalam, membenarkan bekas pelakon dan model sambilan, Shanna Avril yang didakwa melakukan perbuatan lucah di tempat awam di Jalan Petaling pada 23 April lalu, diikat jamin RM7,000 selepas lapan hari ditahan di Penjara Kajang.

Majistret Siti Radziah Kamarudin membenarkan Shanna atau nama sebenarnya Persana Avril Sollunda, 32, diikat jamin oleh adik lelakinya yang hadir dalam kes sebutan itu.

Shanna yang berasal dari Sabah kelihatan tenang dalam kandang tertuduh sepanjang prosiding.

Selain dibenarkan diikat jamin, mahkamah meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran dua minggu sekali, menyerahkan pasport serta dilarang meninggalkan Semenanjung sehingga kes selesai.

Bekas peserta Dewi Remaja itu didakwa melakukan kesalahan di Jalan Petaling, jam 2.07 petang, 23 April lalu.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum tiga bulan atau keduanya, jika disabit kesalahan.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 10:34 AM