Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: "Saya sanggup berhenti kerja semata-mata untuk menguruskan abah selepas kanser peti suara yang dihidapinya enam tahun lalu kini menyerang semula.

"Walaupun tiada lagi rawatan untuknya tetapi saya berdoa supaya abah terus sihat dan akan menjaganya selagi hayat masih ada, "kata Mohd Sufyan Abu Hanifah, 22.

Menurut Mohd Sufyan, bapanya, Abu Hanifah Ismail, 60, pernah menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) enam tahun lalu selepas doktor memaklumkan tumor sudah menghimpit saraf pernafasannya.

Katanya, keadaan bapanya selepas itu semakin baik tetapi sel kanser itu kembali menyerang sejak akhir-akhir ini menyebabkan bapanya tidak dapat berjalan dan hanya terlantar.

"Setiap hari saya dan emak, Noratikah Said, 49, menjaga abah kerana kahak yang tersekat di kerongkong abah perlu dibersihkan setiap lima minit.

"Apabila kerap dia batuk, kahak itu akan terkumpul dan penuh pada kerongkongnya yang perlu dibersihkan selalu," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Teluk Dalam, Bukit Pinang, di sini hari ini.

Menurut Mohd Sufyan, dia sebelum ini hanya bekerja kontrak di sebuah syarikat swasta dengan pendapatan melebihi RM1,000 tetapi mengambil keputusan untuk berhenti kerana perlu kerap membawa bapanya ke HSB.

Sementara itu, ibunya, Noratikah berkata, dia terpaksa membawa suaminya menumpang di sebuah bilik dalam rumah yang diwakafkan penduduk di hadapan rumah mereka bagi memberi keselesaan pada suaminya.

Katanya, bilik itu lebih selesa berbanding keadaan pondok usang mereka yang daif selain mempunyai empat anak yang semakin membesar.

"Sejak suami sakit semula, saya terpaksa berhenti mengambil upah menjahit pakaian untuk memberi perhatian sepenuhnya menguruskan anak-anak dan suami.

"Suami pula tidak dapat bercakap dan jika hendakkan sesuatu, dia akan berdengus dengan kuat selain mengetuk tangannya di lantai," katanya.

Noratikah berkata, tiga anak perempuannya yang berusia 6 hingga 18 tahun termasuk seorang daripadanya orang kurang upaya (OKU) lembam pula masih bersekolah.

Katanya, suaminya kini hanya bergantung minum susu formula khas yang agak mahal harganya sebagai makanan tambahan kerana tidak boleh makan.

"Setiap bulan saya perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk membeli lebih 10 tin besar susu formula khas tetapi saya tak mampu kerana mahal selain berharap ada yang sudi membantu," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menghubunginya di talian 010-7971147.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal turut mengunjungi pesakit itu dan menghulurkan sumbangan wang tunai serta barangan keperluan dapur.

Beliau berkata, pihaknya turut memberi sumbangan katil pesakit serta susu formula khas untuk kegunaan Abu Hanifah bagi meringankan beban yang ditanggung keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 January 2023 @ 5:18 PM