CHE Pah (kiri) menguruskan suaminya, Abd Razak yang terlantar akibat kanser otak tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
CHE Pah (kiri) menguruskan suaminya, Abd Razak yang terlantar akibat kanser otak tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli

Jitra: "Biasanya setiap kali menyambut Ramadan, suami paling sibuk menyediakan persiapan tetapi kali ini suram selepas dia disahkan menghidap barah otak tahap empat, awal bulan ini," kata Che Pah Shaari, 65.

Menurut Che Pah, suaminya, Abd Razak Ahmad, 67, disahkan menghidap barah otak selepas pemeriksaan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar kerana keadaan kesihatannya yang semakin merosot.

Katanya, doktor mengesan ketumbuhan di sebelah kiri otak suaminya selepas menjalani ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

"Mulanya tumor nampak kecil saja tetapi semakin membesar dan agresif selepas menjalani pengimejan resonans magnet (MRI) di HSB.

"Saya dan anak-anak terkejut kerana sebelum ini suami memang aktif bersukan malah sebelum dia sakit, dia masih boleh bermain sepak raga," katanya ditemui di rumahnya di Taman Setia Jaya di sini, hari ini.

Che Pah berkata, dia dimaklumkan, jika suaminya menjalani pembedahan membuang tumor di kepala, berkemungkinan barah itu akan memberi kesan di bahagian badan lain.

Katanya, ketika ini, doktor hanya memberi ubat tahan sakit manakala suaminya hanya terlantar di rumah.

Menurutnya, tangan kanan suaminya juga tidak boleh bergerak malah dia perlu menguruskan keperluan suaminya setiap hari, termasuk mengelap badan serta memasukkan susu ke dalam tiub.

"Berat badan suami juga semakin susut dan dia tidak berselera makan, cuma meminum susu formula khas tiga kali sehari.

"Nak beli susu pun mahal, satu tin RM50 untuk 400 gram dan hanya bertahan satu hari. Tin besar pula berharga RM95 dan ia tahan untuk dua hari," katanya.

Che Pah turut berdoa supaya suaminya sembuh.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh menghubungi Che Pah di talian 013-4242083.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang menziarah Abd Razak turut menghulurkan sumbangan wang, susu formula khas dan katil pesakit.

Katanya, CSM akan terus memberi sokongan kepada Abd Razak supaya terus bersemangat melawan barah walaupun sebagai pesakit paliatif.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2023 @ 1:31 PM