NURUL Syawanie dibantu Siti Khalijah di rumah mereka di Kampung Bendang Charok. FOTO Zuraini Kamal
NURUL Syawanie dibantu Siti Khalijah di rumah mereka di Kampung Bendang Charok. FOTO Zuraini Kamal
Zuliaty Zulkiffli


Changlun: Kehidupan Nurul Syawanie Saidin, 31, berubah sekelip mata sejak disahkan menghidap kanser kalenjar limfoma hodgkin, November tahun lalu.

Dia pada mulanya menyangka menghidap penyakit tibi selepas batuk berpanjangan, selsema serta gatal badan hampir sebulan dan membuat pemeriksaan di Klinik Kesihatan Changlun.

Bagaimanapun katanya, doktor memaklumkan yang dia perlu dirujuk kepada pakar di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar.

"Ketika menjalani ujian imbasan x-ray, doktor memaklumkan terdapat ketulan pada bahagian dada saya.

"Selepas menjalani beberapa pemeriksaan kesihatan, saya disahkan menghidap kanser limfoma hodgkin dan perlu menjalani enam pusingan kimoterapi," katanya di sini, hari ini.

Nurul Syawanie berkata, setakat ini dia sudah selesai menjalani empat kali pusingan kimoterapi di HSB dan setiap kali ia dilakukan, badannya lemah.

Katanya, disebabkan itu suaminya, Muhammad Parli Abu Hassan, 30-an yang bekerja sebagai pemandu lori terpaksa berhenti kerja kerana perlu menjaganya.

"Kami kini tinggal di rumah ibu mentua, Siti Khalijah Kassim, 63, di Kampung Bendang Cherok buat sementara waktu. Saya mempunyai dua anak, Muhammad Aniqdhuha, 8, dan Muhammad Aqifnasuha, 5.

"Setakat ini kami menggunakan wang sendiri untuk rawatan. Kami berharap ada pihak dapat membantu menyalurkan sumbangan untuk meringankan beban memandangkan saya juga perlu membeli susu formula khas dan barangan keperluan lain," katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi di talian 014-7410308,

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal mengunjungi Nurul Syawanie di rumahnya hari ini dan menyalurkan sumbangan wang tunai, barangan keperluan dapur serta susu formula khas untuk pesakit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mac 2022 @ 4:02 PM