Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Sambutan Ramadan dan Aidilfitri kali ini tidak semeriah seperti tahun sebelum ini buat keluarga Muhammad Hafidz Abdul Rahman, 41, selepas dia disahkan menghidap kanser usus tahap empat.

Dia yang kini terlantar di atas katil, tidak dapat bergerak selepas kanser itu sudah merebak ke bahagian perut.

Menurut isterinya, Ardayani Yasrial, 36, dia kini mengambil alih tanggungjawab suami sepenuhnya untuk menguruskan empat anak berusia 11 bulan hingga 12 tahun selain menjahit pakaian yang ditempah pelanggan untuk Aidilfitri ini.

"Suami dikesan menghidap kanser sejak November tahun lalu apabila dia mengadu sakit perut seperti sembelit dan sukar membuang air besar.

"Namun sakit perut yang dialaminya bertambah teruk menyebabkan saya membawanya ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk menjalani pemeriksaan.

"Ketika melakukan pemeriksaan ujian imbasan tomografi berkomputer (CT Scan), didapati terdapat ketumbuhan dalam perutnya sebelum doktor mengesahkan suami menghidap kanser yang sudah merebak ke bahagian perut," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kepala Bukit, Tualang, di sini hari ini.

Ardayani berkata, sebelum ini mereka sekeluarga menetap di Kuala Lumpur kerana suami bekerja di sana tetapi dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan berpindah ke sini kerana mahu menjaga ibunya di sini.

Katanya, namun belum sempat suaminya mencari kerja di sini, suaminya pula disahkan menghidap kanser menyebabkan mereka hilang mata pencarian.

"Disebabkan itulah, saya mengambil tempahan menjahit baju untuk mendapatkan wang bagi menyara keluarga selain persekolahan anak-anak.

"Suami masih menjalani rawatan kemoterapi di HSB dan saya dah tak fikir untuk persiapan Aidilfitri kerana sibuk menguruskan suami dan anak-anak.

"Setiap hari saya perlu menguruskan suami dengan menyuap makanan dan minuman pada suami terlebih dahulu selepas menghantar tiga anak ke sekolah.

"Saya hanya mengambil peluang menjahit baju pada waktu malam selepas anak-anak tidur," katanya.

Menurut Ardayani, suaminya perlu minum susu formula khas untuk memberi tenaga kepadanya tetapi harga susu pula mahal ketika ini.

Katanya, dalam sebulan dia perlu membeli tiga tin susu berkenaan kerana suaminya tidak berselera untuk makan dan hanya bergantung pada susu.

Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui talian 013-8078716 atau melalui akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) miliknya 1099541100836258.

Dalam pada itu, Cancer Survivors Malaysia (CSM) turut membantu pesakit ini dengan menyalurkan sumbangan wang tunai, susu formula khas serta barangan keperluan dapur untuk kegunaan mereka sekeluarga.

Sumbangan diserahkan oleh Pengerusi CSM, Zuraini Kamal yang turut memberi sokongan kepada pesakit itu supaya meneruskan rawatan yang dinasihatkan oleh doktor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2023 @ 1:48 PM
Ardayani menyuap susu kepada suaminya, Muhammad Hafidz yang terlantar akibat menghidap kanser usus tahap empat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI
Ardayani menyuap susu kepada suaminya, Muhammad Hafidz yang terlantar akibat menghidap kanser usus tahap empat. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI