Zuliaty Zulkiffli

Alor Setar: Berat derita ditanggung Abdul Aziz Romli, 61, apabila tubuhnya menjadi kurus kering akibat menghidap barah tiroid tahap empat.

Isterinya, Norfaizah Daud, 57, berkata, suaminya dikesan menghidap barah itu sejak tiga bulan lalu selepas mengalami demam dan sakit kepala berpanjangan.

Katanya, suaminya yang dahulunya bekerja sebagai pemandu lori adalah perokok tegar sehingga memberi kesan kepada kesihatannya.

"Doktor memaklumkan barah itu sudah merebak dengan cepat ke tulang dan hati menyebabkan dia tidak dapat bergerak.

"Keadaan ini membuatkan saya dan anak-anak bimbang kerana dia hanya mampu minum air buah kerana tidak berselera makan.

"Disebabkan itu, saya berikan suami minum susu formula khas walaupun mahal, saya terpaksa beli kerana bimbang berat badannya yang sebelum ini 68 kilogram (kg) susut 42 kg sehingga menampakkan tulang," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Baru, Sungai Korok, di sini, tadi.

Menurut Norfaizah, suaminya kini hanya terlantar di atas katil kerana tidak dapat berjalan atau duduk disebabkan masalah dialaminya.

Katanya, dia yang dulu menjalankan perniagaan kedai mesin fotokopi terpaksa berhenti kerja untuk menjaga suaminya sepenuh masa.

"Sekarang saya hanya perlu mencari wang untuk membeli susu buat suami kerana satu tin susu hanya bertahan beberapa hari. Dalam sebulan sekurang-kurangnya lima atau enam tin besar diperlukan.

"Suami akan menjalani rawatan susulan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mengetahui tahap barah yang dialaminya setakat ini.

"Dia pula asyik mengadu sakit selain tidak boleh terdedah pada cahaya lampu terlalu lama," katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Islam milik Norfaizah Daud 02039024564473 Bank Islam Nor Faizah Daud atau menghubunginya di talian 017-5694119.

Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM), Zuraini Kamal yang menziarahi keluarga itu turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan dapur serta susu formula khas untuk pesakit itu.

Katanya, pihak CSM akan memberi semangat kepada pesakit supaya meneruskan rawatan di hospital.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Ogos 2023 @ 1:52 PM
NORFAIZAH memberi minuman susu formula khas kepada suaminya, Abdul Aziz yang menghidap barah tiroid tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli
NORFAIZAH memberi minuman susu formula khas kepada suaminya, Abdul Aziz yang menghidap barah tiroid tahap empat. FOTO Zuliaty Zulkiffli