Wilfred Madius Tangau.
Wilfred Madius Tangau.
Yun Mikail


Penampang: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Datuk Seri Wilfred Madius Tangau mengumumkan bakal bertanding bagi Parlimen Tuaran pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Madius yang juga penyandang kerusi Parlimen berkenaan bersyukur UPKO memberi peluang kepadanya untuk kembali mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran.

"Pilihan raya pada kali ini ssudah pasti adalah penentu kepada hala tuju negara selepas ini.

"Oleh itu, misi kita adalah bersama dengan seluruh parti komponen Pakatan Harapan (PH) untuk menyelamatkan negara daripada pelbagai krisis ke arah sebuah negara lebih makmur dan sejahtera," katanya ketika sidang media pengumuman calon UPKO di sini, hari ini.

Turut diumumkan empat lagi calon lain yang mewakili UPKO untuk bertanding di Parlimen Penampang, Kimanis, Beluran dan Libaran.

Dalam pada itu, Madius memaklumkan UPKO meletakkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kedamaian yang juga Naib Presiden UPKO Pusat Datuk Ewon Benedick untuk bertanding di kerusi Parlimen Penampang.

"Parlimen Kimanis pula kita meletakkan seorang calon wanita iaitu Rowindy Lawrence. Beliau merupakan Setiausaha Wanita UPKO Pusat dan Timbalan Ketua Penerangan UPKO.

"Selain itu, kita juga mencalonkan Ketua Pemuda UPKO Pusat merangkap Ketua Bahagian UPKO Beluran, Felix Joseph Saang untuk Parlimen Beluran.

"Bagi Parlimen Libaran, UPKO mengetengahkan Dr Peter Jr Naintin iaitu Timbalan Setiausaha Agung UPKO," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada UPKO berpuas hati dengan pembahagian lima kerusi diperoleh parti itu, Madius memaklumkan secara dasarnya parti menerima keputusan yang sudah diputuskan PH.

"Bercakap soal puas hati memang saya ingat tiada yang puas hati. Parti-parti komponen lain dalam PH juga mesti tetap timbul rasa kurang berpuas hati.

"Kita sudah meminta beberapa kerusi dan sebenarnya kita dalam UPKO ini sangat praktikal dengan kerusi kita tandingi kerana mahu menang.

"Bagaimanapun, kita akur selepas keputusan dibuat. UPKO akan bekerjasama sebagai satu pasukan dalam PH untuk pastikan semua calon PH menang dalam pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Oktober 2022 @ 2:58 PM