Ewon Benedick
Ewon Benedick
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) sah bertanding di lima daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah atas tiket Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), bulan depan.

Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata, kerusi terbabit ialah Tuaran, Penampang, Beluran, Libaran dan Kimanis.

Katanya, jumlah itu adalah hasil perbincangan dan rundingan bersama rakan PH Sabah iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"Bagaimanapun rundingan itu bukan hanya membabitkan kerusi Parlimen, sebaliknya lima kerusi itu datang dalam pakej iaitu termasuk untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang membabitkan agihan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun).

"Maknanya walaupun kita tidak dapat kerusi Parlimen lain tapi kita dapat Dun, jadi ia adil," katanya ditemui media pada Program PH, di sini, malam tadi.

Mengenai calon, Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, perkara itu akan diumumkan dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Ewon sebelum ini sudah disahkan akan bertanding di kerusi Parlimen Penampang, manakala Presiden Upko, Datuk Madius Tangau sah akan mempertahankan kerusi Parlimen Tuaran yang disandangnya sejak 1999.

Namun, difahamkan rundingan masih dilakukan bagi mendapatkan kerusi tambahan untuk Upko yang dijangka diketahui pada pengumuman calon parti itu selewat-lewatnya minggu depan.

Difahamkan, PKR mendapat agihan kerusi terbanyak dengan sekurang-kurangnya 12 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, diikuti DAP, Upko dan Amanah.

Sementara itu, Ewon berkata pihaknya juga bersetuju menggunakan logo PH pada PRU-15 berbanding menggunakan lambang parti masing-masing pada PRU lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Oktober 2022 @ 9:36 AM