Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Empat lokasi di Pulau Pangkor mengalami kesan hakisan pantai serius.

Jurutera Daerah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Manjung, Mohd Shamimi Mohd Tahir berkata, pihaknya sudah meneliti keseluruhan pantai di pulau berkenaan yang membabitkan 32 kilometer (km) panjang keseluruhan dan empat lokasi sudah dikenal pasti sebagai kawasan paling terjejas dengan ombak.

Menurutnya, garis pantai di Teluk Nipah, Teluk Dalam, Teluk Gedung dan Tanjung Kelawai dimasukkan dalam kategori pertama yang sedang mengalami hakisan pantai serius.

"Terdapat kira-kira 350 rumah nelayan di lokasi terbabit yang berisiko musnah akibat hakisan pantai.

"Untuk penyelesaian sementara, JPS mengambil inisiatif menggunakan 'rock revetment (tembok batu) seperti di Choral Beach pada 2020.

"Ia berfungsi dengan menyerap impak dari ombak kuat dan mengurangkan hakisan pantai," katanya ketika lawatan lapangan di Choral Beach, Pulau Pangkor, dekat sini, semalam.

Ditanya mengenai penyelesaian jangka panjang, Mohd Shamimi berkata JPS kini sedang menyediakan sebut harga (tender) dengan peruntukkan syiling RM6 juta bagi menambak pasir pantai di Pantai Teluk Nipah.

Turut hadir, Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Sivil dan Alam Sekitar, Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Dr Teh Hee Min merangkap Ketua Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai Lestari; Setiausaha Majlis Perbandaran Manjung (MPM), Helmi Arifin dan Pengarah Hello Pangkor, Tan Wee Hoe.

Sementara itu, petugas rekreasi pantai, Mohd Nor Azahari Ahmad Baddri, 40, berharap pihak kerajaan dapat menyelesaikan isu hakisan pantai dengan segera.

"Dahulu hakisan pantai di sini tidaklah ketara seperti sekarang. Kawasan pasir di sini dulu lebih besar. Sejak 2019 semakin menjadi-jadi hakisannya.

"Ombak kuat di sini terutama bulan Oktober hingga Disember, namun kadang kala ia datang di luar waktu kebiasaan.

"Projek tembok batu ini sudah tiga kali di buat. Kali pertama dibuat dahulu pada 2016 tahan selama lima tahun, manakala kali kedua cuma bertahan kurang setahun," katanya ketika ditemui di Choral Beach, dekat sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 January 2023 @ 9:02 PM
DR Teh Hee Min (kanan) ketika lawatan lapangan di Pantai Teluk Nipah, dekat sini sempena Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai yang Lestari Pangkor. FOTO L. MANIMARAN
DR Teh Hee Min (kanan) ketika lawatan lapangan di Pantai Teluk Nipah, dekat sini sempena Projek Mewujudkan Persekitaran Pantai yang Lestari Pangkor. FOTO L. MANIMARAN