KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
KEADAAN di lokasi kejadian. FOTO Ihsan Bomba
Nurul Hidayah Bahaudin


Rawang: Dua individu termasuk seorang kanak-kanak cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka bersama 28 penumpang lain terbabas dan terbalik di berhampiran Plaza Tol Rawang arah selatan, dekat sini, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 1.46 pagi.

"Seramai 10 anggota bersama beberapa jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rawang dikejarkan ke lokasi.

"Sebaik tiba, kami dimaklumkan terdapat kemalangan membabitkan sebuah bas ekspres yang membawa 30 penumpang terbabas dan terbalik di tepi lebuh raya iaitu kira-kira 500 meter dari plaza tol berkenaan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Norazam berkata, bas itu membawa 16 lelaki, 12 wanita dan dua kanak-kanak perempuan ketika kejadian.

"Kemalangan itu menyebabkan seorang wanita warga emas warga Thailand berusia 65 tahun cedera di kepala, seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia cedera bahagian kaki kanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Disember 2022 @ 8:38 AM