LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Dua sekawan yang lemas di Sungai Chiling, Pertak, Kuala Kubu Bharu, di sini, hari ini, dikatakan meminta tolong sebelum dihanyutkan arus sungai.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat daripada seorang wanita tempatan berhubung kejadian itu jam 12.02 tengah hari.

Beliau berkata, pengadu memaklumkan dua lelaki terbabit lemas di bawah jambatan Sungai Chiling.

"Pada jam 11.55 pagi, semasa kejadian mangsa terdengar jeritan rakannya meminta tolong.

"Dia cuba membantu sebelum kedua-duanya lemas dihanyutkan arus sungai," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Suffian berkata, sepasukan anggota bomba tiba ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa namun tidak berjaya.

Katanya, Penolong Pegawai Perubatan yang juga hadir mengesahkan kematian mangsa.

"Mayat dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

"Kedua-dua mangsa datang bersama rakan lain untuk mandi di Sungai Chiling. Mereka berusia 21 tahun yang juga warga tempatan," katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Sehubungan itu, Suffian menasihatkan pengunjung yang datang ke tempat perkelahan atau mahu menjalankan sebarang aktiviti air supaya mengutamakan keselamatan diri dan keluarga bagi mengelak dari kejadian tidak diingini.

Terdahulu, media melaporkan kegembiraan tujuh penuntut universiti swasta mandi di sungai terbabit bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 6:12 PM