Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Tiang meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kereta dipandu guru di Jalan Felda Sungai Tiang di Pendang, hari ini.

Dalam kejadian 7.20 pagi tadi, mangsa, Muhammad Hasrul Hakimi Ibrahim, 17, meninggal dunia di tempat kejadian.

Ibu mangsa, Halimaton Naemah Mat Isa, 37, berkata, anak sulung daripada lima beradik itu keluar rumah pada 7 pagi untuk menghantar dua adiknya berusia 10 dan 12 tahun yang mengikuti program pendidikan khas di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tiang.

Katanya, dia terkejut sebaik menerima panggilan daripada seorang guru di SK Sungai Tiang memaklumkan kemalangan itu, 8 pagi tadi.

"Saya ketika itu berada di rumah di Kampung Kubang Badak, Tobiar Pendang dan bergegas ke lokasi kejadian bersama suami tetapi tak sempat tengok keadaan anak yang ketika itu sudah dihantar ke hospital.

"Masa saya terima panggilan itu, menggeletar badan jugak la sebab terkejut kerana arwah adalah anak harapan keluarga dan dia kadang-kadang bantu hantar dua adiknya itu ke sekolah," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini hari ini.

Halimaton Naemah berkata, Muhammad Hasrul Hakimi sempat menghantar Noor Salihatul Nabila, 12, dan Muhammad Faiz Qayyum, 10, ke sekolah, pagi tadi sebelum kemalangan berlaku.

Katanya, apabila dia menoreh getah manakala bapanya pula keluar bekerja sebagai jaga lalu lintas di kawasan kuari di Pendang, Muhammad Hasrul Hakimi akan menjaga adik-adiknya.

Menurutnya, arwah anaknya seorang yang tak banyak cakap dan banyak menghabiskan waktu di rumah.

"Muhammad Hasrul Hakimi adalah anak sulung dari lima beradik dan bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini.

"Saya redha dengan pemergian arwah anak pada hari kelima Ramadan Dua segala persiapan Hari Raya tak buat apa lagi tapi bila dah jadi macam ni, memang sedih tapi saya redha la," katanya.

Menurutnya, jenazah Muhammad Hasrul Hakimi akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Paya Rawa, Pendang, selepas solat Zuhur hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, kemalangan berlaku membabitkan motosikal Y15ZR yang ditunggangi pelajar terbabit dengan Proton Saga.

"Siasatan awal mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal itu menghala ke SMK Sungai Tiang selepas menghantar adiknya di SK Sungai Tiang.

"Sebaik tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditungganginya bertembung dengan kereta yang keluar dari simpang kiri.

"Akibat perlanggaran itu mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan dan melanggar pokok dan pagar Pejabat Felda Sungai Tiang dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala," katanya.

Arriz Sham berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik HSB dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 4:49 PM
HALIMATON menunjukkan gambar Muhammad Hasrul yang meninggal dunia dalam kemalangan. FOTO Zuliaty Zulkiffli
HALIMATON menunjukkan gambar Muhammad Hasrul yang meninggal dunia dalam kemalangan. FOTO Zuliaty Zulkiffli