NENEK saudara kepada mangsa dera kanak-kanak menunjukkan antara baju peninggalan arwah di kediaman Kampung Sungai Gatom di sini. FOTO Ahmad Ismail
NENEK saudara kepada mangsa dera kanak-kanak menunjukkan antara baju peninggalan arwah di kediaman Kampung Sungai Gatom di sini. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail


Segamat: "Arwah tidak sempat meraikan hari jadinya esok," kata datuk saudara kepada kanak-kanak empat tahun yang meninggal dunia akibat didera.

Katanya, dia bersama isteri sudah membuat perancangan untuk mengadakan sambutan hari jadi kanak-kanak itu namun tidak kesampaian.

"Kami merancang untuk mengadakannya kali pertama secara sederhana namun hasrat kami tidak kesampaian kerana arwah terbabit dalam insiden menyayat hati beberapa hari lalu.

"Kali terakhir bertemu arwah ialah pada 29 Oktober lalu sebelum dia dibawa menetap di sekitar Batu Pahat.

"Setiap kali berjumpa arwah, kami akan memeluk dan menciumnya namun perkara itu tidak dapat dilakukan lagi tentu amat merinduinya. Memang saya tidak menyangka itu kali terakhir melihat wajah cucu saudara," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sungai Gatom, di sini, hari ini.

Lelaki itu berkata, hatinya luluh apabila melihat pakaian dan kelengkapan permainan antaranya basikal dan kuda plastik yang dibeli beberapa tahun lalu buat cucu saudaranya itu.

"Hanya barang permainan serta pakaian menjadi pengubat rindu kami terhadapnya. Pemergiannya amat kami rasai namun reda," katanya dalam nada sebak ketika menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekok, Tan Chong dan ADUN Tenang, Haslinda Salleh.

Terdahulu, polis mengesahkan kematian kanak-kanak lelaki itu dipercayai mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat, adalah akibat hentakan objek tumpul di kepala.

Lokman dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Gatom, Labis, kelmarin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 Disember 2022 @ 3:02 PM