Safuri Kamarudin


“ADIK saya tidak ada niat mendatangkan kecederaan ke atas mangsa sehingga meninggal dunia.”

Begitulah luahan Nur Maizatul Akmar Abd Aziz, 27 yang juga ibu saudara kanak-kanak Muhammad Azfar Qayyum Md Said, 6, yang meninggal dunia semalam selepas bermain bersama bapa saudaranya yang juga adik kepada Maizatul di rumahnya di Kampung Bandar, Mukim Siong, Baling, Jumaat lalu.

Menurutnya, dia percaya adiknya berusia 16 tahun yang juga penghidap Sindrom Down itu tidak mempunyai niat untuk mendatangkan kematian kepada mangsa.

“Selama ini adik saya dan mangsa biasa bermain bersama dan mereka amat rapat jadi saya kenal sangat kelakuan adik saya.

“Walaupun dia mempunyai Sindrom Down tetapi dia amat sayangkan kanak-kanak malah sebelumnya ketika mereka bermain bersama tidak pernah terjadi apa pun,” katanya.

Beliau ditemui ketika kunjungan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim ke rumah mangsa di Kampung Bandar, Mukim Siong, di Baling, hari ini.

Nur Maizatul berkata, pagi semalam mangsa sempat meminta ibunya membancuh minuman sebelum ibunya keluar berniaga.

“Pagi semalam, sebelum kakak saya (ibu mangsa) keluar berniaga nasi lemak, arwah ada minta padanya untuk membancuhkan minuman coklat panas.

“Arwah juga sempat melambai tangan kepada ibunya yang ketika itu sedang memakai tudung sehinggalah keluar rumah,” katanya.

Katanya, sehinggalah pada tengah hari semalam, ayah mangsa menyedari Muhammad Azfar berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terus membawa mangsa ke Hospital Baling.

“Tragedi itu amat menyedihkan kami sekeluarga namun kami reda dengan apa yang berlaku.

“Kami benar rasa kehilangan Muhammad Azfar sehingga kini,” katanya.

Nur Maizatul berkata, mangsa berkemungkinan terkena hentakan objek keras ketika sedang asyik bermain ‘pedang-pedang’ dan bukannya ‘tumbuk-tumbuk’ seperti diperkatakan.

Jenazah Muhammad Azfar akan dikebumikan di Kampung Banggol Durian, Sungai Taka, Serdang, Bandar Baharu, hari ini.

Semalam, kanak-kanak, Muhammad Azfar Qayyum Md Said berusia enam tahun meninggal dunia di Hospital Baling selepas bermain bersama bapa saudaranya di rumahnya di Kampung Bandar, Mukim Siong, Baling pada Jumaat.

Bagaimanapun pada tengah hari semalam mangsa tidak sedarkan diri sebelum bapanya membawa kanak-kanak itu ke hospital.

Berita berkaitan

Perginya Muhammad Azfar Qayyum

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Jun 2019 @ 3:56 PM