LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Ahmad Ismail


Segamat: "Memang tak sangka dia tergamak melakukan perbuatan itu (dera) hingga mengakibatkan kematian cucu saudara," kata datuk saudara kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang meninggal dunia, semalam dipercayai akibat didera.

Beliau juga mengakui terkejut sebaik menerima berita kejadian menimpa cucu saudaranya.

"Saya tidak menyangka ada lagi manusia yang lebih kejam daripada haiwan.

"Kalau insan normal, haiwan pun tak sanggup dideranya ...saya tidak nampak apa sebab sekali pun yang dia (pelaku) boleh melakukan perbuatan kejam seperti ini," katanya dengan nada sebak.

Beliau berkata, sebelum itu dia dan isterinya pernah beberapa kali menjaga kanak-kanak itu sejak dilahirkan pada 31 Disember 2018.

Katanya, dia dan keluarga amat menyayanginya sebelum kanak-kanak malang itu dibawa menetap di Batu Pahat.

Katanya, kali terakhir mereka bertemunya pada 29 Oktober, lalu.

"Kalau ikutkan, saya dan isteri ingin melawatnya di HSI sebaik dimaklumkan dia dimasukkan ke hospital, namun kami membatalkan niat memandangkan keadaannya yang tidak sedarkan diri dan memerlukan rawatan rapi.

"Memang rasa teramat terkilan jugalah sebab tidak dapat berjumpanya," katanya.

Beliau berkata, urusan tuntutan jenazah mungkin dapat dilakukan esok dan mengikutkan perancangan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatom di sini, sebaik semuanya selesai.

Terdahulu, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun meninggal dunia semalam selepas dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dilapor berkata, pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang memaklumkan mangsa pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada jam 6.45 petang, Jumaat lalu.

Polis turut mengesahkan terdapat kecederaan baharu dan lama di seluruh badan kanak-kanak lelaki terbabit.

Antara kecederaan yang dapat dilihat adalah kesan dicucuh api atau benda panas di seluruh badan mangsa, termasuk di kemaluan dan digigit di telinga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 Disember 2022 @ 10:07 PM