LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN Harian Metro sebelum ini.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Ampang Jaya: Pelakon sambilan yang memandu kereta secara melulu hingga menyebabkan penumpang wanita tercampak keluar dari kenderaan di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) Hulu Kelang, dekat sini, semalam, direman selama sehari.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, reman berkenaan adalah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Pemandu dan penumpang kenderaan itu sudah diambil keterangan semalam dan siasatan lanjut masih berjalan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, seorang penumpang wanita tercampak keluar dari kenderaan selepas pemandu kereta jenis Perodua MyVi memandu secara melulu.

Kemalangan dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi dipandu selebriti lelaki yang juga pelakon sambilan berusia 30 tahun itu menukar lorong secara zigzag hingga hilang kawalan.

Kereta itu kemudian melanggar bahagian sisi kiri sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Innova.

Pelanggaran itu turut menyebabkan penumpang hadapan yang juga kekasihnya berusia 25 tahun tercampak keluar dan mengalami cedera ringan.

Siasatan awal mendapati kemalangan itu berlaku akibat kecuaian pemandu Perodua Myvi yang memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan.

Difahamkan ketika kejadian, lelaki itu bertengkar dengan kekasihnya yang juga penumpang wanita yang tercampak dalam kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Disember 2022 @ 12:52 PM