MENARA Merdeka 118. FOTO arkib NSTP
MENARA Merdeka 118. FOTO arkib NSTP
Mohamed Basyir


Kuala Lumpur: Polis akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Rusia yang dipercayai menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118, di sini, baru-baru ini.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yahaya Othman berkata, pihaknya akan memanggil pasangan berkenaan untuk dirakam keterangan.

"Kedua-dua individu berkenaan akan disiasat atas tuduhan menceroboh," katanya kepada The New Straits Times, di sini, hari ini.

Terdahulu, gambar pasangan itu, Ivan Beerkus dan Angela Nikolau dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia dimuat naik di laman web.

Pasangan itu dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara itu untuk naik ke puncak.

Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenalan adalah sesuatu yang 'gila.'

Sementara itu, Angela menerusi hantaran di Twitter memaklumkan dia tidak ditahan semasa memanjat menara berkenaan yang belum lagi dibuka kepada umum.

"Saya sudah melakukan perbuatan gila dan tidak ditahan, ia pengalaman menakutkan tetapi dengan penamat yang mengembirakan," katanya.

Pasangan itu dikenali dengan lagak aksi di beberapa bangunan tinggi di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Disember 2022 @ 6:23 PM