Azzman Abdul Jamal

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu mempunyai satu sistem dalam talian lengkap bagi mengintegrasikan semua maklumat daripada pelbagai agensi kerajaan, demi memastikan langkah memperkenalkan subsidi minyak bersasar berjaya dilaksanakan dan tidak boleh dimanipulasi pihak tertentu.

Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS) Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, sistem itu penting kerana isu utama berhubung inisiatif itu adalah bagaimana subsidi berkenaan akan disampaikan ke golongan berpendapatan rendah (B40).

Bagi mencapai matlamat itu, katanya kerajaan perlu mengambil kira segala kekangan dan cabaran yang bakal muncul.

“Justeru, kerjasama kukuh antara agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi yang mengendalikan Bantuan Sara Hidup (BSH) diperlukan.

“Sistem ini mesti menggunakan platform laman web supaya ia tidak membebankan pengendali stesen minyak seperti memiliki alat tertentu, memuat turun aplikasi atau perisian tertentu.

“Sistem itu mesti membolehkan pengendali stesen minyak mengenal pasti individu yang layak menerima subsidi berkenaan dengan merujuk kepada nombor MyKad misalnya,” katanya.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menerusi pembentangan Belanjawan 2019 bulan lalu mengumumkan kereta dengan enjin 1,500cc dan motosikal enjin 125cc ke bawah akan menikmati subsidi RON95 sebanyak 30 sen seliter.

Bagaimanapun, beliau menegaskan pemberian subsidi itu tidak membabitkan kenderaan mewah yang mempunyai kapasiti enjin yang disasarkan.

Dalam pada itu, Ketua Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, langkah memperkenalkan subsidi minyak bersasar buat masa ini adalah langkah yang wajar berikutan kekangan kewangan kerajaan untuk mengagihkan sumber terhad itu dengan cara lebih optimum dan tidak membazir.

“Terdapat kajian menunjukkan bahawa MyKad masih kurang penggunaannya meskipun ia mempunyai ciri-ciri canggih seperti penyimpanan data, transaksi tanpa tunai dan sebagainya.

“Justeru, adalah wajar untuk menggunakan MyKad dalam urusan pemberian subsidi bersasar berikutan potensi penggunaannya yang masih lagi kurang diteroka,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya kerajaan sememangnya perlu mengenal pasti bentuk pelaburan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan sistem subsidi minyak itu dapat dilaksanakan dengan cekap dan telus.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 November 2018 @ 12:00 PM