Hazira Ahmad Zaidi

Kuala Krai: "Bahagian dinding ruang tamu, dapur serta tandas rumah dihanyut arus deras ketika banjir Isnin lalu," kata Siti Naimah Zuadnan, 30.

Pada awalnya, Siti Naimah menganggap rakannya bergurau selepas diberitahu rumahnya mengalami kerosakan teruk selain ruang dapur dihanyutkan arus deras.

Siti Naimah yang pada ketika itu berada di pusat pemindahan sementara (PPS) sanggup mengharungi air untuk melihat keadaan sebenar rumahnya.

Katanya, hujan lebat berterusan pada Ahad lalu sehingga Sungai Nal melimpah menyebabkan air naik di perkarangan rumah namun surut tiga jam kemudian.

"Bagaimanapun, pada 1.30 pagi Isnin lalu, luar perkarangan rumah saya sekali lagi dinaiki air sudah berada paras lutut dan di jalan besar yang terletak 50 meter dari rumah sudah dinaiki air separas pinggang menyebabkan jiran mengetuk pintu rumah supaya menyelamatkan diri.

"Pada ketika itu, saya hanya sempat menyelamatkan dokumen penting dan motosikal berikutan air naik terlalu cepat dan berlindung di masjid yang berada di tempat lebih tinggi 80 meter dari rumah.

"Jiran-jiran lain turut tidak berbuat apa-apa dan membiarkan sahaja barang mereka ditenggelami air dan mungkun mereka juga sama seperti saya yang tidak menyangka akan berlakunya banjir besar," katanya ketika ditemui di Kampung Ladang Kuala Pertang, di sini, semalam.

SITI Naimah menunjukkan tapak ruang dapur rumahnya selepas banjir surut. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
SITI Naimah menunjukkan tapak ruang dapur rumahnya selepas banjir surut. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Siti Naimah berkata, keluarganya terpaksa menanggung kerugian lebih RM10,000 selepas dinding ruang tamu sepanjang 10 meter tercabut dan peralatan rumahnya dihanyutkan banjir.

"Mujurlah dalam keadaan yang kelam kabut ketika air sedang naik, dua anak saya yang berumur lima dan sembilan tahun tidak berada di rumah kerana mengikut neneknya, manakala suami, Mohd Doli Mohd Abd Ghani, 46, bekerja di Kuala Lumpur.

"Saya tidak menyangka akan menempuhi pengalaman ini kerana sebelum ini tinggal bersama keluarga di Kampung Pasir Jering dan pada Mei lalu baru mengambil keputusan untuk berpindah dan tinngal di rumah peninggalan mertua," katanya.

Siti Naimah berkata, berikutan kejadian itu, dia menumpang sementara di rumah jirannya dan buntu memikirkan untuk membaik pulih semula rumah terbabit.

Katanya, bah kuning yang berlaku di Ladang Kuala Pertang pada 2014 menyebabkan anak saudara suaminya yang pada ketika itu berusia 21 bulan dihanyutkan arus deras dan sehingga ke hari ini masih belum dijumpai.

"Peristiwa itu masih meninggalkan kesan trauma dalam diri kami sekeluarga namun tidak mampu melawan qada dan qadar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Disember 2022 @ 10:28 AM