Keadaan rumah Faridah Wahab,59, yang dihanyutkan arus deras semalam. FOTO Noorazura Abdul Rahmam
Keadaan rumah Faridah Wahab,59, yang dihanyutkan arus deras semalam. FOTO Noorazura Abdul Rahmam
Noorazura Abdul Rahman


Sik: "Saya dan anak menjerit minta tolong ketika rumah bergegar dilanda arus deras, ketika itu kami hanya fikir mati dan hanya mampu mengucap," kata Faridah Wahab, 59.

Mangsa banjir di Kampung Lintang, Belantik itu berkata, dia hanya mampu berpelukan bersama anak dan dua cucu berusia lima dan dua tahun ketika air sungai yang melimpah masuk ke dalam rumah kira-kira jam 5.30 petang semalam.

Katanya, mereka kini tinggal sehelai sepinggang selepas separuh rumahnya iaitu bahagian dapur dan bilik simpanan barang dihanyutkan arus deras.

"Selama 35 tahun tinggal di sini, ini kejadian banjir paling teruk pernah dialami, kami empat beranak selamat kerana sempat naik ke beranda rumah sebelum cuba mencabut atap untuk naik ke bumbung rumah.

"Ketika itu saya dan anak, Siti Kholijah Saud, 25, sempat melaungkan azan ketika melihat arus deras turut menghanyutkan banyak kayu dan ranting besar selain kami turut menjerit meminta tolong kepada jiran berdekatan.

"Ketika itu air sudah naik lebih satu meter membuatkan kami yang berada di beranda ketakutan bimbang air naik lebih tinggi, selama 30 minit kami menunggu sebelum air mulai surut," katanya yang juga ibu tunggal.

Bagi Siti Kholijah pula, kejadian banjir semalam, ibarat mimpi ngeri buat diri dan keluarganya, namun bersyukur kerana dua anaknya selamat.

"Ketika kejadian suami, Mohd Amirul Azhar Che Hussain, 26, keluar bekerja dan hanya kami empat beranak di rumah melihat bagaimana air masuk ke rumah dan menenggelamkan banyak perkakas.

"Apabila melihat separuh rumah kami hanyut, saya hanya mampu menangis. Tiada apa yang tinggal kerana pakaian, perabot, televisyen, tilam, mesin basuh, pinggan mangkuk, dapur dan tong gas dihanyutkan air deras.

"Mujur ada anggota bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) datang membantu, malah penduduk kampung juga tolong mencari barang yang masih boleh digunakan," katanya.

Seorang lagi mangsa banjir kampung sama, Munah Wado, 59, berkata, dia dan anaknya Muhammad Faris Yusuf, 20, terpaksa lari ke bukit di belakang rumah ketika arus deras masuk ke dalam rumah.

"Sebelum itu saya sempat letak barang penting di tempat tinggi, ketika sedang sibuk mengemas anak jerit 'mak cepat lari' dan tanpa fikir panjang kami dua beranak terus lari menuju ke bukit di belakang rumah.

"Kira-kira 30 minit selepas lihat air mulai surut, kami berdua turun ke bawah dan melihat keadaan rumah, Alhamdulillah tidak banyak perkakas yang rosak dan rumah tidak rosak teruk," katanya yang juga ibu tunggal.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Belantik Dalam dan Kampung Lintang, Muhammad Shahril Mohamed Ghazali berkata, Faridah dan Munah adalah antara 70 mangsa yang terjejas akibat banjir berkenaan.

Katanya, banjir kali ini melanda 15 rumah penduduk di lima kampung sekitar Belantik selepas air Sungai Lintang melimpah sehingga masuk ke kediaman mereka.

"Sebanyak sembilan rumah ditenggelami air di Kampung Lintang dan masing-masing dua rumah di Kampung Kuala Betong dan Kampung Belantik Luar serta sebuah rumah di Kampung Surau dan Kampung Belantik Dalam.

"Kejadian ini sudah dimaklumkan kepada Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Belantik bagi mendapatkan bantuan makanan asas dan kita akan edarkan secepat mungkin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Oktober 2021 @ 1:07 PM