Ahmad Hasbi


Rembau: Bekalan telur ayam di pelbagai peringkat di negeri ini tidak terputus, namun berlaku ketiadaan stok di peringkat peruncit dalam masa tertentu sementara menunggu bekalan dihantar pembekal.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S Veerapan berkata, bekalan telur dihantar ke peruncit dua kali seminggu.

"Berlaku permintaan tinggi di sesetengah tempat dan dalam masa menunggu bekalan telur seterusnya dihantar kepada peruncit, mungkin berlaku ketiadaan bekalan. Namun, di Negeri Sembilan secara keseluruhan kita tidak menghadapi terputus bekalan.

"Memang semua gred telur ada. Jika ada tempat tiada stok telur, pengguna boleh terus lapor kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) mengikut saluran yang disediakan," katanya.

Terdahulu beliau menyempurnakan perasmian Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 di sebuah pasar raya di Rembau Sentral, di sini, hari ini dan turut dihadiri Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan.

SHMMP dilaksanakan bermula hari ini hingga 27 Disember depan dengan sebanyak 11 barangan diwartakan di bawah skim berkenaan.

Veerapan berkata, pihaknya tiada halangan jika ada pemain industri yang menyediakan telur import kepada pengguna, namun harganya tidak dikawal pihak berkuasa.

"Ada pasar raya yang membekalkan telur import dan harganya lebih mahal berbanding telur tempatan dan pihak KPDN tidak mengawalnya. Terpulang kepada industri," katanya.

Sementara itu katanya, dalam tempoh Januari hingga semalam, KPDN Negeri Sembilan mengeluarkan kompaun RM172,900 atas pelbagai kesalahan membabitkan pemeriksaan di 37,127 premis.

"Ia membabitkan nilai rampasan RM3.4 juta. Selain itu sebanyak 984 jumlah aduan diterima dalam tempoh berkenaan dengan aduan tertinggi berkaitan harga iaitu 310 aduan," katanya.

Caption: REMBAU 23 DISEMBER 2022. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan

menyempurnakan perasmian Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Krismas 2022 di sebuah pasar raya di Rembau Sentral, di sini, hari ini dan turut dihadiri Pengarah KPDN Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan.

VEERAPAN (dua dari kiri) meninjau stok telur ayam sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham
VEERAPAN (dua dari kiri) meninjau stok telur ayam sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sembilan. FOTO Azrul Edham

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Disember 2022 @ 5:12 PM