AZMAN (kanan) diiringi Veerapan (tengah) menunjukkan bekalan telur ayam ketika melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022, di Pasar Raya Lotus Nilai hari ini., Foto Mohd Amin Jalil
AZMAN (kanan) diiringi Veerapan (tengah) menunjukkan bekalan telur ayam ketika melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022, di Pasar Raya Lotus Nilai hari ini., Foto Mohd Amin Jalil
Mohd Amin Jalil


Nilai: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi jaminan bekalan telur ayam di seluruh negara mencukupi meskipun beberapa kawasan berdepan masalah stok.

Ketua Setiausahanya Datuk Azman Mohd Yusof berkata, pihaknya sentiasa memantau bekalan telur ayam di pasaran selain bekerjasama dengan beberapa kementerian termasuk Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) berhubung perkara berkenaan.

Katanya, hasil pemantauan mendapati tiada sebarang aduan mengenai kegiatan menyorokkan bekalan telur ayam oleh mana-mana pihak diterima, setakat ini.

"Saya ke beberapa negeri termasuk Melaka, Johor, Terengganu dan Pulau Langkawi, memang ada sedikit isu tentang kuantiti telur ayam tidak mencukupi tetapi bekalan ada.

"Ada yang saya lihat mungkin jualan pagi dah selesai, petang isi semula, ini menunjukkan bahawa kita masih lagi ada bekalan yang baik.

"Malah, saya turut berhubung dengan Ketua Setiausaha Mafi dan pegawai kita hari ini ada perbincangan teknikal dengan beberapa kementerian bagi melihat aspek untuk memastikan bekalan telur cukup, jadi krisis secara menyeluruh dengan hampir semua bekalan terputus tidak berlaku," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2022 di sebuah pasar raya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S Veerapan dan Pengarah KPDNHEP Negeri Sembilan, Muhammad Zahir Mazlan.

Azman berkata, orang ramai boleh membuat aduan kepada kementerian itu sekiranya berlaku kekurangan bekalan telur ayam.

Menurutnya, pihaknya boleh memberitahu pembekal untuk menghantar bekalan di kawasan yang mengalami kekurangan stok telur ayam.

"Kita akan pastikan semua bekalan bahan makanan mencukupi sehingga akhir tahun ini dan keadaan harga di bawah kawalan.

"Kita juga berpegang kepada dasar subsidi yang telah diluluskan dan meminta pemain industri supaya dapat bekerjasama," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2022 @ 4:34 PM