FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Ahmad Hasbi

Nilai: Pelitup muka dan kit ujian pantas antigen Covid-19 masih lagi disenaraikan sebagai barangan kawalan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.

Dengan peningkatan kes virus berkenaan sejak awal Disember lalu, peniaga diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan dengan menaikkan harga kedua-dua barang berkenaan.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan Muhammad Zahir Mazlan berkata, tiada sebarang aduan yang diterima pihaknya di negeri itu setakat ini.

"Bagaimanapun, pasukan penguat kuasa sesekali akan turun memantau ke farmasi dan kedai menjual pelitup muka.

"Justeru, kami memberi amaran kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga pelitup muka dan kit ujian kerana kedua-dua produk ini masih lagi dikawal," katanya.

Terdahulu, beliau mengiringi Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan S Veerapan ketika Pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Perayaan Krismas Peringkat Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Menurutnya, pihaknya juga belum menerima sebarang aduan mengenai ketiadaan atau kekurangan bekalan pelitup muka dan kit ujian terbabit.

Muhamad Zahir berkata, masyarakat dilihat lebih bersedia menghadapi Covid-19 berbanding pada awal pandemik berkenaan melanda dan yakin tiada pembelian panik bagi kedua-dua produk penjagaan kesihatan itu.

Pada Mac tahun lalu, kerajaan menetapkan harga maksimum peringkat runcit untuk pelitup muka satu lapisan ialah 7 sen seunit, dua lapisan pada harga 20 sen seunit dan tiga lapisan pada harga 70 sen seunit.

Terlebih dahulu, produk itu diwartakan sebagai barang kawalan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan harga maksimumnya mengikut Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum) (No.7) 2020 pada 1 November 2020.

Sementara itu, Veerapan berkata, bekalan bawang di negeri itu mencukupi dan harganya masih terkawal.

"India sudah menghentikan pengeksportan bawang, jadi kita import bawang dari Thailand, China, Vietnam dan Indonesia. Bekalan mencukupi dan tiada isu harga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 1:10 PM