Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis turun padang meninjau lokasi tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father's Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di sini, sebaik dibenarkan keluar hospital hari ini.

Kehadiran beliau pada jam 4 petang itu bagi memberikan kata semangat kepada pegawai serta anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi.

Beliau turut mengambil kesempatan berjumpa petugas media dan pegawai Jabatan Penerangan (Japen).

"Saya dibenarkan keluar hospital hari ini dan saya datang ke sini (lokasi SAR) sebab masih ada (mangsa) belum jumpa. Setakat ini kita dah jumpa 30 mangsa.

"Saya nak jumpa pegawai operasi untuk bagi semangat untuk mencari lagi baki mangsa. Lepas ini saya akan balik," katanya ketika ditemui pemberita.

Norazam yang dikejarkan ke Hospital Selayang pada Isnin lalu berkata, beliau disahkan mengalami Transient Ischaemic Attack atau strok ringan dan perlu menjalani rawatan susulan selepas ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada orang ramai yang memberikan kata semangat kepada pasukan SAR.

"Saya nak ucapkan terima kasih atas sokongan semua kerana memberikan semangat kepada kami. Sokongan semua memberikan kita semangat untuk terus berada dan insya-Allah bakinya lagi kita akan sedaya upaya untuk cari," katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Norazam dimasukkan ke Hospital Selayang akibat minor strok.

Beliau dimasukkan ke hospital pada 6 petang akibat keletihan selepas empat hari terbabit dalam operasi SAR tanah runtuh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 6:09 PM