Norazam Khamis
Norazam Khamis
Raja Noraina Raja Rahim


Hulu Selangor: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menafikan memberi kebenaran kepada sukarelawan mahupun badan bukan kerajaan (NGO) menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) di tapak perkhemahan Father's Organic Farm, di sini.

Pengarah JBPM Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, lima agensi keselamatan yang dibenarkan menyertai misi berkenaan di lokasi kejadian selaras arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, hanya anggota menyelamat yang terlatih dibenarkan berada di kawasan operasi iaitu JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) serta Angkatan Pertahanan Awam (APM).

"Tiga aspek utama diambil kira untuk anggota terbabit iaitu keselamatan, kemahiran dan kecergasan.

"Dengan keadaan semasa struktur tanah kawasan bencana dalam keadaan lembut dan jika hujan, berkemungkinan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai tular gambar sekumpulan sukarelawan yang memasuki kawasan bencana tanah runtuh berkenaan dan mendakwa diberi kebenaran membantu operasi SAR mangsa yang terperangkap.

Norazam berkata, operasi memerlukan kepekaan dan latihan khusus serta kesediaan menghadapi situasi sukar yang tidak dijangka.

Oleh itu, katanya, kemahiran anggota diperlukan selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di lokasi.

Misi SAR memasuki hari ke-4, hari ini dengan sembilan lagi mangsa hilang yang dikhuatiri tertimbus di bawah runtuhan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 2:06 PM