KAPAL Layar Puteri Mahsuri yang hanyut Isnin lepas berjaya ditemui semalam. FOTO ihsan TLDM
KAPAL Layar Puteri Mahsuri yang hanyut Isnin lepas berjaya ditemui semalam. FOTO ihsan TLDM
Muhamad Lokman Khairi


Lumut: Empat kru warganegara Myanmar dan seorang nakhoda kapal layar Puteri Mahsuri yang dilaporkan hilang di perairan Langkawi sejak Isnin lalu, ditemui semalam.

Jurucakap Markas Pemerintahan Armada Barat, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berkata, Markas Wilayah Laut 3 menerima maklumat daripada 'Maritime Rescue Sub-Center' (MRSC) Langkawi berhubung laporan kehilangan kapal layar terbabit melalui rakan pemilik kapal layar itu, Captain William Foo pada jam 8 pagi.

Posisi terakhir Puteri Mahsuri sebelum insiden adalah di 14 batu nautika, barat Pulau Rebak, Langkawi.

Ia dipercayai hanyut akibat rantai sauhnya terputus selain enjinnya rosak ketika bersauh di perairan berkenaan.

"Kapal Diraja (KD) Lekiu yang berada di lapangan diatur gerak ke lokasi bersama helikopter Fennec TLDM untuk pencarian di udara.

"TLDM berjaya mengesan posisi kapal layar itu di 37.5 batu nautika, barat laut Pulau Perak jam 1 tengah hari semalam," katanya pada kenyataan hari ini.

KD Lekiu seterusnya melaksanakan pemeriksaan kesihatan dan bantuan awal terhadap kru Puteri Mahsuri.

Kapal layar terbabit kemudiannya dibawa pulang ke Langkawi dan operasi ditamatkan jam 2.30 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Disember 2022 @ 1:28 PM