Empat pemancing yang hanyut lebih 12 jam berjaya diselamatkan APMM. (Gambar kecil) Bot dinaiki mereka yang hanyut berikutan enjin rosak dan tali sauh putus. FOTO ihsan APMM
Empat pemancing yang hanyut lebih 12 jam berjaya diselamatkan APMM. (Gambar kecil) Bot dinaiki mereka yang hanyut berikutan enjin rosak dan tali sauh putus. FOTO ihsan APMM
Fardy Bungga


EMPAT pemancing berdepan detik cemas apabila bot yang dinaiki mereka hanyut lebih 12 jam selepas mengalami kerosakan enjin di perairan Pulau Tiga, Labuan, semalam.

Kumpulan pemancing lelaki berusia 33 hingga 62 tahun itu dilaporkan keluar ke laut sejak petang kelmarin dan terpaksa melabuhkan sauh apabila hujan lebat dan ombak besar melanda kawasan perairan berkenaan.

Bagaimanapun tali pada sauh mereka terputus sebelum kumpulan terbabit mengambil keputusan meneruskan perjalanan pulang ke Labuan kira-kira jam 6 pagi, semalam.

Ketika dalam perjalanan pulang, enjin bot berkenaan rosak dan ketiadaan sauh menyebabkan mereka hanyut dibawa arus ke tengah laut.

Timbalan Pengarah (Operasi) Daerah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Komander Maritim Nor Bakari Abu Bakar berkata, pihaknya menerima laporan pada jam 11 pagi, semalam, sebelum mengerahkan sepasukan bot ronda menjalankan operasi mencari dan menyelamat di kawasan perairan berkenaan.

"Bot kumpulan pemancing berkenaan ditemui terapung kira-kira 15 batu nautika utara berhampiran Tanjung Kubung pada 6.50 petang.

"Empat pemancing terbabit ditemui dalam keadaan keletihan namun semua mangsa selamat tanpa mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, empat pemancing terbabit ialah Ali@Charlie M. Yusoff, 62, Wilfred Balang Singa, 38, Jamhari Bujang, 54, dan Amir Ahmad Astor, 33.

Menurutnya, semua mangsa dibawa ke Jeti APMM Labuan sebelum diberikan rawatan selanjutnya.

Sehubungan itu, Nor Bakari menasihati orang ramai yang mahu keluar memancing di laut supaya membuat persiapan sewajarnya berikutan keadaan cuaca tidak menentu.

Katanya, orang ramai disarankan supaya merujuk dan mendapatkan maklumat berkaitan keadaan cuaca sebelum turun ke laut untuk menjalankan sebarang aktiviti.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Disember 2017 @ 12:55 PM