Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

Ipoh: Kerajaan negeri tidak pernah mengeluarkan kelulusan bagi pembinaan rumah ibadat di kawasan dalaman gua batu kapur, kata Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.

"Tidak pernah ada kebenaran, (sebaliknya) dia masuk (teroka) begitu sahaja.

"Bahaya, lebih-lebih lagi jika rumah ibadat berkenaan bukan diuruskan oleh badan keagamaan sebaliknya oleh entiti perniagaan," katanya mengulas mengenai 14 rumah ibadat yang terdapat di kawasan gua batu kapur yang juga terletak di atas tanah kerajaan sekitar daerah Kinta.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Bangunan Perak Darul Ridzuan, hari ini yang turut dihadiri Pegawai Daerah Kinta, Meor Hezbullah Meor Abd Malik.

Sebelum ini, media melaporkan mengenai notis pengusiran dalam tempoh 30 hari yang diberikan kepada pengendali beberapa rumah ibadat di atas tanah kerajaan khususnya beroperasi di kawasan gua sekitar daerah Kinta termasuk kerana membina struktur secara haram.

Notis diberikan adalah mengikut Seksyen 425 Kanun Tanah Negara (KTN) 1965 atas beberapa faktor antaranya memaklumkan bahawa sebarang pendudukan, penempatan atau aktiviti tanpa kebenaran adalah kesalahan di sisi undang-undang serta berlakunya kerja pembinaan struktur yang semakin aktif tanpa kelulusan di kawasan berkenaan.

Datuk Saarani Mohamad. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM
Datuk Saarani Mohamad. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM

Saarani berkata, melihat kepada cuaca selain laporan menerusi tinjauan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, aktiviti pengubahsuaian dalaman kawasan gua tanpa kawalan dan berleluasa oleh pengusaha rumah ibadat terbabit sangat dikhuatiri mendedahkan kepada insiden runtuhan.

"Jika dengan kuasa (daya) titisan air pun lama kelamaan boleh menyebabkan ia menembusi dan memecahkan batu kapur gua, inikan pula ubah suai, lagilah sangat bahaya.

"Sebab itu kena buat secara 'legal' (perundangan). Kerajaan negeri lebih fikirkan mengenai faktor keselamatan sebab nanti kalau kita tidak berani (kuatkuasakan), kita yang akan dipersalahkan apabila berlaku sesuatu kejadian tidak diingini kerana seolah-olah kita tidak bertindak," katanya.

Beliau berkata, Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Kinta mengenalpasti secara keseluruhan terdapat 41 rumah ibadat di daerah Kinta terletak dalam kawasan gua batu kapur yang selain di atas tanah kerajaan sebanyak 14, ia turut meliputi di atas tanah milik persendirian (tiga) dan tanah rizab (24).

Saarani berkata, selain penubuhan jawatankuasa khas berhubung notis pengusiran diberikan kepada pengendali rumah ibadat terletak di atas tanah kerajaan khususnya di dalam kawasan gua sekitar daerah Kinta, pihaknya juga sedang memikirkan inisiatif sama bagi membendung aktiviti itu di gua yang terletak di kawasan selain atas tanah kerajaan di seluruh Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 January 2022 @ 4:44 PM