KEADAAN Honda CRV yang dirempuh kereta perisai tentera. FOTO Mohd Khidir Zakaria
KEADAAN Honda CRV yang dirempuh kereta perisai tentera. FOTO Mohd Khidir Zakaria
Mohd Khidir Zakaria


EMPAT sekeluarga warga Bangladesh cemas apabila kenderaan dinaiki mereka dirempuh sebuah kereta perisai tentera di Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, kejadian berlaku 4.20 petang di Kilometer 14.3 SPDH membabitkan kereta perisai tentera dan Honda CRV yang dipandu wanita Bangladesh.

“Siasatan awal mendapati kereta perisai dan trak tentera (milik Angkatan Tentera Malaysia) dalam perjalanan pulang dari Kem Rasah Markas 1 Briged menghala ke Kem 2 Amor Port Dickson.

"Pergerakan secara konvoi dengan kedudukan konvoi didahului dengan Proton Saga diikuti kereta perisai dan terakhir trak tiga tan.

"Apabila sampai di lokasi kejadian, Honda CRV dipandu wanita Bangladesh dari arah kiri menukar haluan secara tiba-tiba, " katanya dalam satu kenyataan media.

Katanya, kerana jarak sangat dekat, kereta perisai tentera gagal memberhentikan kenderaan lalu melanggar Honda CRV dan mengheret kenderaan itu ke lorong kecemasan.

"Dalam kemalangan itu, semua yang terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Kes disiasat mengikut Rule 6 LN 166/59," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mac 2020 @ 11:05 AM