KEADAAN banjir di sekitar Kampung Pianggu, Rompin. FOTO Farizul Hafiz Awang.
KEADAAN banjir di sekitar Kampung Pianggu, Rompin. FOTO Farizul Hafiz Awang.
BERNAMA

Kuala Lumpur: Jumlah mangsa banjir berada pada angka 50,791 orang setakat jam 2 petang ini melibatkan lima negeri dengan jumlah terus meningkat dan paling ramai adalah di Johor.

Johor merekodkan 46,742 orang diikuti Pahang (3,042), Melaka (516), Negeri Sembilan (478) dan Selangor (13).

Di JOHOR, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), memaklumkan, empat lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka, menjadikan keseluruhan 264 PPS beroperasi di kesemua 10 daerah.

Menurut JPBN, Batu Pahat menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 15,915 mangsa daripada 4,616, keluarga diikuti Segamat (13,319 orang/3,895 keluarga); Kluang (5,270 orang/,525 keluarga); Muar (4,103 orang/1,214 keluarga) dan Kota Tinggi 3,249 orang daripada 865 keluarga.

Tangkak menempatkan 3,007 mangsa melibatkan 870 keluarga di PPS; Mersing (975/292 keluarga); Johor Bahru (511/174 keluarga); Pontian (330 orang/86 keluarga) serta Kulai dengan 63 orang daripada 15 keluarga.

Di PAHANG, jumlah mangsa banjir meningkat sedikit kepada 3,042 orang di 22 PPS tengah hari tadi, berbanding 2,978 orang di 23 PPS, pagi tadi.

Sekretariat JPBN melaporkan walaupun banjir di Bera pulih sepenuhnya selepas 29 mangsa terakhir dibenarkan pulang ke kediaman mereka pagi tadi, namun pertambahan mangsa direkodkan di Rompin yang merupakan daerah paling teruk terkesan bencana itu.

Setakat ini, 2,717 orang masih berada di 20 PPS sekitar Rompin manakala 296 orang pula ditempatkan di sebuah PPS di Temerloh dan 29 orang lagi di sebuah PPS di Maran.

Di MELAKA, jumlah mangsa meningkat kepada 516 orang daripada 138 keluarga berbanding 493 orang daripada 134 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

Sekretariat JPBN, dalam satu kenyataan, menyebut satu lagi PPS baharu dibuka di Jasin iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Rambai pada jam 11 pagi tadi, menjadikan keseluruhan lima PPS di daerah itu yang menempatkan 507 orang daripada 135 keluarga, manakala satu PPS di Alor Gajah menempatkan sembilan mangsa daripada tiga keluarga.

Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Sembilan, Leftenan Kol (PA) Mohd Nazri Mes Kam, berkata jumlah mangsa banjir di negeri ini terus merekodkan penurunan kepada 478 individu membabitkan 123 keluarga di dua PPS di Tampin setakat tengah hari tadi.

Di SELANGOR, jumlah mangsa banjir di negeri itu juga mencatatkan penurunan kepada 13 orang daripada dua keluarga yang ditempatkan di SK Merbau Sempak, Sungai Buloh berbanding 71 orang daripada 17 keluarga, pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 4:44 PM