GAMBARA HIASAN
GAMBARA HIASAN
BERNAMA

Kuala Lumpur: Seramai 56,159 mangsa banjir masih di pusat pemindahan sementara (PPS) di lima negeri setakat pagi ini dengan Kelantan dan Terengganu terus mencatatkan peningkatan.

Di TERENGGANU situasi banjir tidak menunjukkan petanda lebih baik apabila angka mangsa banjir terus melonjak kepada 37,792 membabitkan 10,401 keluarga berbanding 26,494 orang daripada 7,369 keluarga, malam tadi, dan semua mereka ditempatkan di 310 PSS yang beroperasi di semua lapan daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan Kemaman menjadi daerah paling teruk terjejas dengan 12,000; diikuti Besut (8,228); Hulu Terengganu (6,691); Setiu (3,988); Dungun (2,484); Kuala Nerus (1,521); Kuala Terengganu (1,900) manakala Marang (980).

Hujan lebat dilaporkan pagi ini.

Di KELANTAN, Portal Rasmi eBanjir negeri https://ebanjir.kelantan.gov.my/ memaklumkan mangsa banjir meningkat kepada 17,326 orang daripada 4,793 keluarga pagi ini, berbanding 14,359 orang daripada 3,942 keluarga malam tadi.

Sebanyak 106 PPS dibuka membabitkan sembilan jajahan iaitu Kota Bharu, Pasir Mas, Tumpat, Bachok, Tanah Merah, Pasir Puteh, Kuala Krai, Machang dan Jeli.

Berdasarkan laman sesawang https://publicinfobanjir.water.gov.my/, lapan sungai utama di negeri itu melepasi paras bahaya

Sementara itu, di PAHANG, Sekretariat JPBN melaporkan jumlah mangsa banjir pagi ini kekal seperti semalam iaitu 934 orang dan mereka berada di 11 PPS di dua daerah iaitu di Kuantan serta Raub.

Jabatan Meteorologi meramalkan semua daerah di Pahang akan mengalami hujan pada pagi ini.

Di JOHOR, Sekretariat JPBN memaklumkan mangsa banjir yang masih ditempatkan di tiga PPS membabitkan daerah Segamat kekal 53 orang setakat 8 pagi ini.

Di PERAK, jumlah mangsa banjir kekal 54 orang daripada 17 keluarga membabitkan dua daerah iaitu Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2022 @ 10:19 AM