Nor Fazlina Abdul Rahim dan Paya Linda Yahya


Gua Musang: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan enam projek tebatan banjir yang perlu ditender semula di tiga negeri tidak mengambil masa yang panjang.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana kawasan projek sudah dikenal pasti dan skop kerja juga sudah ada.

"Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan projek yang ditender semula terdapat penjimatan sebanyak RM2 bilion.

"Maka, pada hemat saya proses tender semula tebatan banjir tidak mengambil masa panjang kerana kawasan projek sudah dikenal pasti dan skop kerja juga sudah ada.

"Cuma dari segi proses untuk tender ini yang berjalan. Dulu tender terpilih, ertinya kaedah perolehan harus dilakukan secara penelitian," katanya pada sidang media selepas melawat Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, enam projek tebatan banjir akan ditender semula dengan segera selewatnya pada Jun membabitkan beberapa projek rancangan di Johor, Selangor dan Kelantan.

la membabitkan Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Johor, Kota Tinggi, Johor; pembinaan kolam takungan dwifungsi di Sungai Rasau serta Sungai Klang (Selangor) dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Golok Fasa Tiga di Kelantan.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara turut mengarahkan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) supaya menyegerakan bayaran wang ihsan kepada mangsa banjir yang layak.

"Arahan saya kepada NADMA supaya bayaran diberi sebaik mangsa banjir kembali ke rumah dan bantuan itu boleh digunakan untuk memperbaiki barangan rumah yang rosak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 6:08 PM