Syaherah Mustafa


Rantau Panjang: Banjir besar di Pasir Mas ketika ini berikutan limpahan air Sungai Golok yang turut melanda lima wilayah di Thailand, kata Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau turut menyangkal dakwaan segelintir penduduk yang mendakwa banjir itu susulan pembangunan Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban).

"Malah, pembinaan lembangan sungai ini sebenarnya dapat mengurangkan impak banjir daripada menjadi lebih teruk. Kementerian cuba memastikan agar setiap fasa projek dapat disegerakan supaya tidak menjejaskan penduduk setempat selepas ini.

"Fasa pertama dijangka siap pada tahun hadapan dan dalam masa sama, kementerian juga sudah meluluskan projek bagi fasa dua dengan kos RM265 juta untuk pembinaan dinding cegah banjir di Rantau Panjang.

"Ia kini dalam proses mereka bentuk agar dapat dilaksanakan dengan hasil yang terbaik, selain kita turut meneruskan projek untuk melengkapkan lebaran sungai di sepanjang Sungai Golok," katanya pada sidang media di Pusat Bantuan Asnaf Rantau Panjang di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff.

Dalam pada itu, Tuan Ibrahim berkata, nasib penduduk yang terkesan banjir terutama di Kampung Tersang akan terus diberi perhatian dan pihaknya berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi membantu mempercepatkan proses air surut.

"Kita akan bawa pam untuk mengepam air daripada bertakung lama di kawasan rumah mangsa sekali gus mengelak daripada berlaku banjir termenung," katanya yang berharap paras Sungai Golok surut segera untuk memudahkan usaha itu.

KAWASAN Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung di Pasir Mas yang dilanda banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.
KAWASAN Sekolah Kebangsaan Pohon Tanjung di Pasir Mas yang dilanda banjir. FOTO Nik Abdullah Nik Omar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Mac 2022 @ 7:52 PM