Tertuduh, Kamal Ariffin Sehat didakwa cederakan isteri minggu lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Tertuduh, Kamal Ariffin Sehat didakwa cederakan isteri minggu lalu. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad
Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seorang penghantar makanan dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Ayer Keroh di sini, tadi, atas pertuduhan menumbuk muka dan menendang isterinya.

Mangsa didakwa dikasari kerana enggan menemani tertuduh menghadiri majlis tamat latihan adiknya minggu lalu.

Tertuduh, Kamal Ariffin Sehat, 40, mengaku bersalah, namun ditolak Majistret Mazana Sinin kerana pengakuan 'bersyarat' tertuduh membabitkan pertuduhan dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Fadilah Hussin, 39, dengan menumbuk muka dan menendang bahagian belakang badan mangsa di sebuah premis di Taman Tanjung Minyak Perdana di sini, kira-kira jam 9 malam, 8 Disember lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama. Sabit kesalahan boleh

dihukum penjara maksimum dua tahun dan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Kejadian dikatakan berlaku selepas tertuduh mengajak isteri bersama lima anak pergi ke majlis tamat latihan adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan, namun ditolak membuatkan tertuduh berang dan mencederakannya.

Bagaimanapun tertuduh dalam pengakuannya mengaku menarik rambut dan menampar muka isterinya selepas wanita itu dikatakan memanggil ibunya sebagai anjing.

Mahkamah kemudian menolak pengakuan bersalah tertuduh kerana pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha ingin mengekalkan pertuduhan seperti dibacakan kepada lelaki itu.

Justeru, mahkamah menolak pengakuan bersalah yang dibuat Kamal Ariffin selepas pihak pendakwaan turut ingin mengekalkan pertuduhan seperti dinyatakan kepada tertuduh.

Pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 serta syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2022 @ 4:32 PM