Syaherah Mustafa


Jeli: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan memfokuskan pemantauan banjir di tujuh 'hotspot' bagi memastikan keadaan terkawal tanpa insiden tidak diingini berlaku.

Pengarahnya, Jainal@Zainal Madasin berkata, ia adalah di Gua Musang, Limau Kasturi, Sungai Golok di Rantau Panjang, Machang, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.

Katanya, anggota akan membuat pemantauan harian secara berkala termasuk menggunakan unit dron bagi memudahkan pihaknya menerima maklumat serta mengetahui situasi semasa lokasi banjir.

"Kawasan dikategorikan sebagai 'hotspot' adalah antara lokasi terawal dilanda banjir hampir setiap tahun serta membabitkan paras air yang tinggi dan menjejaskan ramai penduduk.

"JBPM Kelantan bersiap siaga bukan sahaja daripada anggota dan pegawai, malah menyediakan aset logistik bagi memudahkan operasi menyelamat mangsa banjir.

"Bagaimanapun, langkah awal diambil dengan memberi nasihat agar penduduk yang tinggal di lokasi 'hotspot' sentiasa berwaspada serta berpindah ke tempat selamat atau ke pusat pemindahan sementara (PPS) jika keadaan dilihat membahayakan," katanya.

ZAINAL (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan kering kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Legeh, di sini, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA
ZAINAL (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan makanan kering kepada salah seorang mangsa banjir di Kampung Legeh, di sini, semalam. FOTO SYAHERAH MUSTAFA

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyantuni penduduk dan menyampaikan sumbangan makanan kering kepada mangsa banjir di Kampung Legeh, di sini, semalam.

Hadir sama, Pengarah Bahagian Unit Udara JBPM Nazili Mahmood dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim.

"Saya bersama beberapa pegawai dan anggota berjalan meredah air ke penempatan ini untuk memberi nasihat kepada penduduk supaya mengambil langkah awal dengan berpindah jika keadaan semakin membahayakan.

"Namun, kita mendapati ramai antara mangsa sudah berpindah ke PPS di Sekolah Kebangsaan Legeh, di sini, kecuali anggota keluarga lelaki yang mahu memastikan rumah mereka selamat.

"Ia menandakan mereka peka dengan keadaan semasa dan mengambil langkah bijak untuk keluar lebih awal daripada terperangkap di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Disember 2021 @ 12:16 PM